Wednesday, January 15, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri luar G7 bimbang terhadap ketegangan di Timur Tengah

    ISTANBUL, 5 OGOS – Menteri-menteri luar Kumpulan Tujuh (G7) telah menyatakan ‘kebimbangan mendalam’ terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, lapor Agensi Anadolu (AA) kelmarin.

    Menteri luar Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan kebimbangan mendalam mereka terhadap tahap peningkatan ketegangan di Timur Tengah yang mengancam untuk mencetuskan konflik yang lebih luas di rantau itu.

    Mereka menggesa semua pihak yang terlibat “untuk tidak meneruskan kitaran keganasan balas dendam yang merosakkan itu, untuk meredakan ketegangan dan terlibat secara konstruktif ke arah mengendurkan ketegangan.”

    “Tiada negara atau bangsa yang akan mendapat manfaat daripada peningkatan ketegangan yang lebih lanjut di Timur Tengah,” kata kumpulan itu.

    Terdahulu, menteri-menteri luar menyertai mesyuarat persidangan video yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Itali, Antonio Tajani.

    Ketegangan telah meningkat antara kumpulan Hezbollah Lubnan dan Israel sejak Tel Aviv membunuh komander tentera kanan kumpulan itu Fuad Shukr dalam serangan udara di pinggir selatan Beirut pada 30 Julai.

    Ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh juga telah dibunuh di ibu negara Iran, Tehran pada hari berikutnya dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh Israel, walaupun Tel Aviv belum mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.

    Hamas dan Iran telah berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan Haniyeh manakala Hezbollah telah berjanji untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Shukr. – Bernama

    Penunjuk perasaan memegang gambar Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran semasa perhimpunan di Baghdad, Iraq, pada 3 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda