Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Palestin sambut baik Ireland sertai kes genosid

    ANKARA, 13 DIS – Palestin memuji Ireland kerana menyertai kes genosid yang dibawa Afrika Selatan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan menggesa lebih banyak negara untuk menyertai kes itu, lapor agensi Anadolu (AA).

    Dalam kenyataan Rabu lalu, Kementerian Luar Palestin menyatakan bahawa keputusan Ireland itu mengesahkan ‘komitmen teguh Ireland terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa, serta menonjolkan solidariti mendalam dan sejarah persahabatan’ antara kedua-dua negara.

    Kenyataan itu turut menyeru negara-negara pihak dalam Konvensyen Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid untuk ‘aktif dalam prosiding’ kes Afrika Selatan di ICJ.

    “Mengakhiri genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan menentang kekebalan Israel adalah tanggungjawab yang perlu kita galas bersama demi kepentingan kemanusiaan dan undang-undang,” kata kenyataan itu.

    Menteri Luar Ireland, Micheal Martin mengumumkan Rabu lalu bahawa negaranya secara rasmi akan menyertai kes genosid Afrika Selatan ke atas Israel, sambil mengecam ‘hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin melalui niat dan kesan tindakan ketenteraan Israel di Gaza, yang menyebabkan 44,000 kematian dan berjuta-juta penduduk awam kehilangan tempat tinggal.’

    Setakat ini, lebih 10 buah negara, termasuk Turkiye, Sepanyol dan Mexico, telah menyertai kes ICJ terhadap Israel. – Bernama

    Penduduk Palestin berdiri di kawasan runtuhan bangunan selepas serangan udara Israel ke atas pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza pada 13 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda