Wednesday, January 15, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan D Amazing KBT KGA Koi Fish juara kejohanan dart

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 12 OGOS – Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Persatuan Dart Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, disokong oleh imagine Sdn Bhd dan Hotel Lanes telah menganjurkan Kejohanan Dart Beregu Lelaki Terbuka Borneo 2024 yang diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula 9 Ogos hingga kelmarin bertempat di Hotel Lanes, Pekan Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada perlawanan akhir kejohanan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Muhammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud yang sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

    Dalam pada itu, format perlawanan dijalankan dalam peringkat berkumpulan dan pasukan empat teratas akan masuk ke pusingan kalah mati dan pasukan yang tidak termasuk empat pasukan teratas akan bermain di loser side secara kalah mati.

    Sebanyak 112 pasukan yang bertanding terdiri daripada 96 pasukan dari dalam negara dan sebanyak 16 pasukan dari luar negara khususnya dari Sabah dan Sarawak yang telah mendaftar untuk menyertai kejohanan ini. Hadiah wang tunai terkumpul berjumlah $14,700 telah disediakan bagi para pasukan yang memenangi kejohanan ini.

    Muncul juara ialah Pasukan D Amazing KBT KGA Koi Fish dari Negara Brunei Darussalam, membawa pulang wang tunai sebanyak $5,000 yang merupakan hadiah wang tunai yang terbesar setakat ini bagi kejohanan dart di peringkat serantau, berserta piala dan pingat.

    Sementara naib juara disandang oleh Pasukan KGA War 18 Impossible dari Brunei dengan menerima $3,000 berserta piala dan pingat, manakala tempat ketiga bersama diberikan kepada Pasukan OMG MK BORNEO dari Sabah, dan Pasukan KGA3 dari Brunei, di mana masing-masing memenangi $1,000 berserta piala dan pingat.

    Antara tujuan kejohanan ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silahturahim dalam kalangan pemain Negara Brunei Darussalam di samping memperkenalkan sukan dart ke arah disiplin yang teratur dan memajukan sukan dart di negara ini serta menarik pelancong atau pemain luar negara khususnya dari Kepulauan Borneo.

    Pengiran Muhammad Amirrizal menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pada kejohanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda