Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang fahami isu transformasi, ekonomi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Persidangan Perniagaan Brunei (PPB) yang dirasmikan hari ini telah menyatukan para Pemimpin Perniagaan ASEAN dan APEC di Indera Kayangan Grand Ballroom, The Empire Brunei.

    Persidangan yang disertai oleh lebih 450 peserta dari Brunei dan luar negara itu telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Yang Berhormat Dato semasa menyampaikan ucapan pendahuluannya menyatakan cukup berbesar hati dapat melancarkan Program Ekonomi Brunei (PEB) 2023, yang dihoskan oleh APEC dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta dengan kerjasama organisasi sektor awam dan swasta yang terkemuka.

    Program membawa tema ‘Kesaksamaan, Kemampanan, Peluang’ itu telah memberi pendedahan berharga kepada komuniti perniagaan di Brunei mengenai APEC dan ASEAN serta peluang untuk memahami dan menyertai perbincangan mengenai isu-isu penting seperti pertumbuhan ekonomi, transformasi digital, peralihan tenaga, dan pencapaian sifar bersih menjelang 2050.

    Selain itu, PPB turut menyediakan tiga perbincangan panel yang membincangkan ASEAN dan APEC pada 2023, pertumbuhan digital dan inklusif, serta pertumbuhan mampan dan peralihan tenaga.

    Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC dan ASEAN, Dominic Ng dan Arsjad Rasjid, bersama-sama dengan Pengarah Eksekutif APEC, Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida Dato Talib, turut hadir dan dikendalikan oleh ahli Lembaga Bank Baiduri, Dato Timothy Ong.

    Perbincangan panel menyoroti pentingnya transformasi digital dan kemampanan bagi perniagaan Brunei untuk mengikuti trend global terkini.

    Sesi mengenai kemampanan menekankan tentang pentingnya mengurangkan jejak karbon selain, berkongsi bahawa walaupun hanya melakukan perubahan kecil, ia tetap memberi kesan yang besar.

    PPB merupakan sebahagian daripada PEB yang diadakan dengan kerjasama beberapa organisasi sektor awam dan swasta terkemuka.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri persidangan tersebut. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri persidangan tersebut. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
    Sesi perbincangan panel yang berlangsung semasa PPB tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda