Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberian khas interim Sabah, Sarawak dinaikkan RM600 juta

    KOTA KINABALU, 12 SEPT – Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas interim untuk Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Beliau berkara perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang berlangsung lebih dua jam dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, berkata walaupun kadar itu disemak setiap lima tahun tetapi Perdana Menteri telah memutuskan untuk menaikkan pemberian khas berkenaan lebih awal.

    “Ini akan bermula pada tahun 2025. Sepatutnya ia diumumkan sewaktu Bajet tetapi Perdana Menteri mengumumkkan dalam mesyuarat kali ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

    Fadillah berkata pengumuman itu hanya melibatkan bayaran interim kerana formula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak belum dimuktamad.

    Beliau juga berkata terdapat empat isu belum yang diputuskan pada mesyuarat hari ini termasuk duti setem, pelantar benua dan royalti.

    Selain itu, katanya mesyuarat bersetuju supaya perkara dalam kategori agree to disagree dibawa ke peringkat paling tinggi untuk dibincangkan iaitu antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

    Fadillah berkata pihaknya akan mengemas kini hasil perbincangan berkaitan isu itu kepada Perdana Menteri dalam tempoh tiga bulan. – Bernama

    Anwar Ibrahim bersama Fadillah Yusof (kanan), Hajiji Noor (dua kanan) dan Abang Johari Tun Openg (kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di SICC pada 12 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda