Monday, January 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk maut terkena periuk api anti-kereta kebal di Kemboja

    PHNOM PENH, 19 JAN – Seorang penduduk di sebuah kampung di Kemboja maut selepas memandu sebuah trak yang sarat dengan muatan ubi kayu mengenai periuk api anti-kereta kebal di ladangnya, kata seorang pegawai kelmarin.

    Kejadian itu berlaku di wilayah Battambang di barat laut pada Jumaat apabila penduduk kampung yang tidak dikenal pasti itu ‘melalui laluan ditanam periuk api anti-kereta kebal tinggalan perang,’ kata Pengarah Umum Pusat Tindakan Ranjau Kemboja (CMAC), Heng Ratana dalam catatan di Facebook.

    Dua orang pemusnah periuk api Kemboja terbunuh pada Khamis ketika cuba mengeluarkan periuk api anti-kereta kebal yang berusia beberapa dekad dari sebuah sawah yang pernah menjadi medan pertempuran antara pasukan kerajaan dan tentera Khmer Rouge.

    Negara Asia Tenggara itu masih dipenuhi dengan peluru dan senjata yang dibuang sejak beberapa dekad perang yang bermula pada 1960an.

    Amerika Syarikat (AS) mengebom sebahagian besar Kemboja ketika Perang Vietnam, satu kempen yang turut membantu meningkatkan kuasa rejim genosid Khmer Rouge.

    Sepanjang hampir tiga dekad konflik yang berikutnya, jutaan periuk api darat ditanam di Kemboja, mengakibatkan puluhan ribu orang terkorban atau cedera sepanjang tahun.

    Kematian akibat periuk api dan bom yang tidak meletup masih berlaku dengan sekitar 20,000 kematian sejak 1979.

    Lebih 1,600 kilometer persegi tanah tercemar masih perlu dibersihkan, yang meninggalkan kira-kira satu juta rakyat Kemboja terjejas oleh sisa-sisa perang. – AFP

    Pemusnah periuk api Ukraine bercakap dengan Pemusnah periuk api Kemboja berhampiran papan tanda amaran semasa sesi latihan teknikal mengenai teknologi penyamun di wilayah Battambang pada 19 Januari 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda