Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengasas Kakao ditahan atas dakwaan manipulasi saham

    SEOUL, 23 JULAI – Pendakwa raya Korea Selatan hari ini mengesahkan penahanan pengasas syarikat gergasi teknologi, Kakao Corp, Kim Beom-su, atas dakwaan memanipulasi harga saham semasa pengambilalihan sebuah agensi K-pop utama tahun lalu.

    Penahanan Kim berlaku selepas Mahkamah Daerah Selatan Seoul meluluskan waran tangkap, memetik kebimbangan beliau mungkin melarikan diri atau memusnahkan bukti.

    Pendakwa raya mempunyai sehingga 20 hari untuk menyiasat Kim dan memutuskan sama ada untuk mendakwanya, menurut seorang pendakwa kanan di pejabat pendakwa raya daerah Seoul yang enggan namanya disiarkan kerana siasatan sedang berjalan.

    Kim berdepan dakwaan merancang dan meluluskan skim untuk berkolaborasi dengan pengendali dana ekuiti swasta bagi memanipulasi harga saham SM Entertainment, bagi menghalang Hybe Corp, syarikat induk kepada K-pop BTS, daripada membeli SM Entertainment.

    Kim, 58, menafikan dakwaan tersebut, menurut pejabat pendakwa raya Seoul. Beliau tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

    Kakao Corp terkenal dengan aplikasi sembang mudah alih popular, Kakao Talk. Syarikat itu telah menggunakan populariti aplikasinya untuk berkembang dalam perbankan, membeli-belah dalam talian dan perkhidmatan lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
    Harga saham Kakao jatuh hampir 5 peratus hari ini selepas berita itu. – AFP

    Kim ketika tiba di mahkamah di Seoul pada 22 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda