SINGAPURA, 17 MEI – Singapura hari ini melaksanakan hukuman gantung ke atas seorang pengedar dadah, menurut pihak berkuasa, hukuman kedua di negara itu dalam tempoh tiga minggu.
Lelaki tersebut disabitkan pada 2019 kerana mengedarkan kira-kira 1.5 kilogram kanabis, kata Kokila Annamalai dari kumpulan hak asasi Transformative Justice Collective kepada AFP.
Singapura merupakan salah sebuah negara yang melaksanakan undang-undang anti narkotik yang ketat di dunia, mengedarkan lebih 500 gram kanabis boleh membawa hukuman mati.
“Lelaki tempatan berusia 36 tahun telah dilaksanakan hukuman mati hari ini di Kompleks Penjara Changi,” beritahu jurucakap penjara kepada AFP.
Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) berkata dalam kenyataan berasingan bahawa ia tidak akan mendedahkan nama lelaki tersebut demi menghormati privasi yang dipohon oleh keluarganya.
“Lelaki tersebut telah diberikan proses yang sewajarnya di bawah undang-undang, dan mempunyai akses kepada penasihat undang-undang sepanjang proses itu,” tambah CNB.
Rayuan saat akhir telah dikemukakan untuk menyemak kes dan penangguhan hukuman matinya telah ditolak pada Selasa, kata Annamalai.
Meskipun desakan antarabangsa meminta hukuman mati dihapuskan, Singapura menegaskan ia adalah pencegahan berkesan terhadap pengedaran dadah. – AFP
