Saturday, May 4, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Peristiwa hilang 47 hari masih segar dalam ingatan

    GUA MUSANG – Peristiwa tersesat selama 47 hari di dalam hutan sehingga mengorbankan lima kanak-kanak Orang Asli tujuh tahun lepas, masih segar dalam ingatan Mirsudiar Aluj, seorang daripada dua mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

    Mirsudiar, 18, berkata walaupun ada ketikanya detik hitam itu terlintas di fikiran, kini dia gembira tinggal bersama keluarga setelah membuat keputusan untuk berhenti sekolah akibat trauma dan keluarganya bimbang kejadian sama berulang kembali.

    “Saya hanya mahu tinggal di kampung ini bersama keluarga, saya gembira di sini.

    “Waktu kecil dahulu (setelah dijumpai) ada ramai orang luar datang berjumpa, sekarang sudah lebih dua tahun saya tidak berjumpa orang luar dan tiada yang datang bertanya khabar keadaan diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gawin, dekat Pos Gob baru-baru ini.

    Dalam kejadian 23 Ogos 2015, tujuh murid yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dilaporkan lari dari asrama dipercayai takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

    Sementara itu, Along Alej, 62, berkata selepas dijumpai, cucunya itu lebih suka menyendiri dan kurang bergaul dengan ahli keluarga yang lain selain kerap bermimpi sesat di dalam hutan bersama kawan-kawannya.

    “Setelah pulih daripada trauma, Mirsudiar perlahan-lahan dapat menjalani kehidupan seperti anak normal yang lain dan mula bergaul dengan anak-anak yang sebaya di kampung, malah berat badannya juga semakin bertambah,” katanya.

    Along berkata susulan kejadian itu, mereka memutuskan untuk menghentikan persekolahan Mirsudiar kerana gusar dengan keselamatannya, kini mereka berasa lega apabila dapat melihat remaja itu membesar di depan mata walaupun tercicir dalam pelajaran.

    Selepas hampir 50 hari hilang, Mirsudiar yang ketika itu berusia 11 tahun dan Norieen Yaakob, 10, ditemukan masih hidup dalam keadaan cengkung dan lemah berhampiran Sungai Perias manakala lima rangka pelajar dijumpai di sekitar kawasan sama iaitu Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang kesemuanya dari Kampung Gawin dan Kampung Penad. – Bernama

    Mirsudiar Aluj, 11, ditemui dalam keadaan selamat namun lemah di Sungai Emas pada 29 Oktober 2015. – Bernama
    Mirsudiar Aluj, 18, semakin ceria dan telah pulih dari trauma ketika ditemui pemberita di hadapan rumahnya di Kampung Gawin, dekat Pos Gob. – Bernama
    Mirsudiar Aluj, 11, ditenangkan ibunya selepas ditemui dalam keadaan selamat namun lemah di Sungai Emas pada 29 Oktober 2015. Detik hitam tersesat selama 47 hari di dalam hutan masih segar di ingatan Mirsudiar Aluj, 18, salah seorang mangsa yang ditemukan masih hidup oleh pasukan penyelamat kira-kira tujuh tahun lalu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...