Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertanian pintar iklim lindungi petani daripada musim kemarau

    MUTOKO – Dengan penuh bangga, Marova Moyo mengagumi tanaman kacang mentega hijau yang subur di kebunnya di Mutoko, sebuah daerah di wilayah Mashonaland Timur, Zimbabwe.

    Bagi petani berusia 62 tahun itu, tiada yang lebih menenangkan selain menyaksikan sayur kacang tumbuh subur di bawah jagaan rapinya.

    Walaupun Zimbabwe sedang berdepan kemarau yang dicetuskan oleh fenomena El Nino, Moyo dan suaminya, Abel Katsande, masih berjaya menuai hasil bijirin yang mencukupi untuk bertahan sehingga musim menuai seterusnya.

    Kejayaan ini hasil daripada amalan pertanian pintar iklim yang memastikan penggunaan tanah dan sumber secara lestari.

    Setelah menyedari hasil tanaman semakin merosot akibat kualiti tanah yang semakin menurun, Moyo beralih kepada pertanian pemuliharaan, satu kaedah pintar iklim di mana petani menggali lubang untuk digunakan sebagai lembangan penanaman.

    Moyo menunjukkan kemahiran bercucuk tanam kepada penduduk kampung lain di Mutoko, Wilayah Timur Mashonaland, Zimbabwe. – Xinhua
    Abel Katsande menuai tebu di Mutoko. – Xinhua
    Moyo menggunakan sungkup pada tanaman kacang menteganya di Mutoko. – Xinhua
    Kahukwa Kanyonganise, seorang petani Zimbabwe, kelihatan di ladang lada hijaunya di Mutoko. – Xinhua

    Lubang itu mengekalkan kelembapan, membolehkan tanaman tumbuh subur walaupun dengan bekalan air yang terhad.

    “Kami sedar bahawa ini adalah satu-satunya cara untuk memastikan tanah dipelihara, kesihatan kami dilindungi, alam sekitar dipulihara dan pada masa yang sama mendapatkan hasil yang tinggi,” kata Moyo dalam satu wawancara dengan Xinhua.

    Konsep pertanian pemuliharaan melibatkan gangguan minimum terhadap tanah, kitaran tanaman dan penggunaan sungkup.

    Sungkup membantu mengekalkan kelembapan dan menghalang pertumbuhan rumpai, manakala baja meningkatkan struktur tanah.

    “Kelebihannya adalah di sebahagian kecil tanah, awda boleh menuai dengan cukup untuk menyara keluarga awda dan menjual lebihan hasilnya,” tambah Moyo.

    Moyo merupakan ahli Forum Petani Organik Berskala Kecil Zimbabwe (ZIMSOFF), sebuah organisasi yang bercita-cita untuk meningkatkan taraf hidup petani kecil-kecilan secara teratur dan berdaya tahan melalui amalan pertanian lestari dan ekologi.

    Sejak mengamalkan pertanian pemuliharaan di atas tanah seluas satu setengah ekar (kira-kira 0.61 hektar), hasil tuaian Moyo telah meningkat lebih daripada dua kali ganda. Kaedah itu juga membantunya menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

    Moyo menyatakan keyakinannya bahawa kunci kejayaannya adalah dengan mematuhi prinsip agroekologi, satu pendekatan pertanian lestari yang berkait rapat dengan alam semula jadi.

    “Setiap bahagian dalam ekosistem mempunyai peranannya,” katanya.

    Sebagai contoh, pokok mangga di tamannya memberikan buah untuk keluarganya, dan lebihan hasilnya dijual di pasar. Daun-daun yang gugur menjadi sungkup, dan dahan-dahan hasil pemangkasan digunakan sebagai kayu api.

    Apabila dia penat, dia berehat di bawah pokok yang memberikannya tempat teduh. Pokok itu juga membantu menghalang hakisan dan menjadi pelindung daripada angin.

    Apa yang dilakukannya sebagai balasan hanyalah menyiram pokok tersebut.

    Apabila hasil tanaman dituai, tiada apa yang dibuang. “Segala-galanya dikitar semula di sini.

    “Malah batang jagung, kami gunakan sebagai jerami, sebahagiannya sebagai makanan ternakan. Tahi kambing dan ayam pula digunakan sebagai baja,” kata Moyo.

    Agroekologi memainkan peranan penting dalam mempromosikan pertanian lestari, kata Patience Shumba, pegawai program untuk ZIMSOFF.

    “Dalam menghadapi perubahan iklim, agroekologi menawarkan pendekatan holistik dan bersepadu yang boleh melindungi, memulihkan dan meningkatkan sistem pertanian serta makanan,” ujar Shumba.

    Walaupun banyak keluarga memerlukan bantuan makanan tahun ini, tanah kecil Moyo telah memberikan hasil yang mencukupi untuk keperluan keluarganya.

    “Orang ramai kini sedar bahawa walaupun berlaku kemarau, saya tidak akan tidur dengan perut kosong. Jika tiada hujan, saya masih dapat menuai.

    Jadi ramai yang datang untuk belajar cara saya melakukannya,” kata Moyo.

    Beberapa kilometer dari ladang Moyo, Kahukwa Kanyonganise membina sistem pengumpulan air yang menyalurkan air yang mengalir dari pergunungan batu berhampiran ke sebuah takungan di bawahnya.

    Air ini digunakan untuk mengairi tanaman beliau.

    “Kawasan ini tidak menerima hujan yang mencukupi, jadi saya memutuskan untuk mengumpul air supaya saya dapat menyimpan apa yang kami dapat,” kata lelaki berusia 73 tahun itu, sambil menambah bahawa inisiatif pengumpulan airnya membolehkan beliau menanam jagung, tanaman ruji di luar musim.

    Di Zimbabwe, jagung ditanam oleh petani kecil di kawasan luar bandar terutamanya melalui pertanian bergantung kepada hujan, yang menyebabkan mereka terdedah kepada perubahan persekitaran semula jadi yang semakin tidak menentu.

    Pada April lalu, Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa mengisytiharkan keadaan bencana akibat kemarau yang disebabkan oleh fenomena El Nino, yang mengakibatkan tanaman jagung di banyak bahagian negara itu musnah.

    Menurut kerajaan, kira-kira 9 juta orang, lebih separuh daripada jumlah penduduk negara, akan memerlukan bantuan makanan sehingga Mac tahun depan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda