Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) menerusi Jawatankuasa Ibadah Friendly Hospital (IFH) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Tahunan PJSC yang berlangsung di Masjid Az-Zakireen, Kampung Meragang, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin Haji Awang Besar.
Turut hadir ialah pengurusan dan kakitangan PJSC dan JPMC serta jemputan khas dari Gleneagles JPMC.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengerusi PJSC IFH, Haji Ishkandar bin Haji Buntar, bacaan surah, Takhtim, Doa Khatam, Doa Arwah serta diakhiri dengan Dikir Marhaban dan Doa Selamat.
Pada majlis berkenaan, PJSC juga menyampaikan sumbangan wakaf berupa 100 buah buku Yasin dan 100 buah buku Takhtim manakala Gleneagles JPMC menyampaikan sumbangan wakaf berupa 500 rehal Al-Quran kepada Masjid Az-Zakireen.
Sumbangan wakaf berkenaan telah disampaikan bagi pihak JPMC oleh Dr Haji Mazrul Adimin dan Gleneagles JPMC diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Awang Izzul Hamzi bin Haji Jomari.
Majlis diakhiri dengan acara bersungkai dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Acara berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan jawatankuasa PJSC IFH untuk menyemarakkan lagi semangat Ramadan dalam kalangan kakitangan PJSC.
Acara juga bermatlamat untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan aktiviti keagamaan serta memupuk hubungan kerja positif dalam kalangan semua kakitangan.