HANOI, 23 JAN – Polis Vietnam telah menahan lima individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram bernilai AS$1.2 bilion, dengan dana haram tersebut dibawa masuk dari luar negara.
Menurut kenyataan pihak polis hari ini, sindiket itu beroperasi antara tahun 2022 hingga 2024 dan melibatkan pemalsuan kad pengenalan serta cop bank untuk menubuhkan 187 syarikat, seterusnya membuka lebih 600 akaun bank syarikat.
“Akaun-akaun tersebut digunakan untuk memindahkan serta ‘menghalalkan’ wang yang diperoleh melalui penipuan atau perjudian di luar negara,” kata polis. Jumlah keseluruhan transaksi sindiket itu dianggarkan mencecah 30,000 bilion dong (AS$1.2 bilion).
Penangkapan dilakukan di Danang termasuk seorang kakitangan bank, di mana polis menyatakan ia adalah kes pengubahan wang haram terbesar pernah dibongkar di bandar pesisir pantai tersebut.
Selain penangkapan, polis turut merampas 122 cap palsu serta salinan asal 40 sijil pendaftaran perniagaan.
Pada Oktober tahun lalu, taikun hartanah Vietnam, Truong My Lan, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan pengubahan wang haram walaupun dia memfailkan rayuan.
Pemaju hartanah itu dijatuhi hukuman mati kerana jenayah penipuan berjumlah AS$27 bilion dalam kes berasingan. – AFP