Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Sempena Upacara Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) PPDB kelmarin mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Surau Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, dan isteri, Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, selaku Pengerusi Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI).
Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji ldris; Pengerusi BUI, DSP Aimi Safwan bin Zalidin; serta pengarah-pengarah dan timbalan pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai, dan anggota pangkat rendah PPDB termasuk ahli-ahli PEKERTI.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah, yang diimamkan oleh APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar, dikuti dengan bacaan doa kesyukuran dan diakhiri dengan bacaan doa penutup, memohon keberkatan dan rasa syukur atas kejayaan istiadat berkenaan.
Suasana semasa majlis doa kesyukuran berkenaan.