Thursday, December 26, 2024
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden AS tandatangani 50 RUU

    ISTANBUL, 25 DIS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, hari ini menandatangani 50 rang undang-undang (RUU) menjadi undang-undang, menangani isu-isu seperti perlindungan belia, etika dalam jawatan awam dan keselamatan di kampus, lapor agensi Anadolu (AA).

    Antara undang-undang baharu itu ialah ‘Akta Hentikan Penyalahgunaan Institusi Kanak-kanak’ yang diperjuangkan oleh selebriti Paris Hilton.

    Undang-undang itu mewujudkan kumpulan kerja persekutuan untuk memantau kesihatan, keselamatan, penjagaan, rawatan dan penempatan kanak-kanak bawah umur dalam program-program kediaman belia, termasuk pusat pemulihan.

    Satu lagi undang-undang menghalang anggota Kongres yang disabitkan dengan jenayah berkaitan rasuah awam daripada menerima faedah persaraan mereka.

    Pembaharuan dwipartisan itu susulan sabitan baru-baru ini terhadap Senator Bob Menendez dari New Jersey yang didapati bersalah menggunakan pengaruh politiknya untuk memberi manfaat kepada ahli perniagaan dan kerajaan asing sebagai pertukaran untuk rasuah.

    Rang undang-undang ketiga, Stop Campus Hazing Act bertujuan membanteras budaya hazing dalam pendidikan tinggi.

    Ia menghendaki kolej dan universiti memasukkan laporan insiden hazing dalam pendedahan keselamatan tahunan mereka dan mewajibkan pendidikan mengenai bahaya hazing kepada pelajar. Langkah-langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk menggalakkan keselamatan dan akauntabiliti di kampus.

    Satu lagi undang-undang, S. 4610, secara rasmi menetapkan burung helang botak sebagai burung rasmi AS, yang mana tidak ada undang-undang sebelumnya yang mengaitkan burung itu dengan kerajaan persekutuan. – Bernama

    Biden (kanan) dan bekas Presiden AS, Bill Clinton, semasa mesyuarat tahunan Inisiatif Global Clinton di New York pada 23 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda