Monday, May 20, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Program HPIPA dilancarkan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Hari Pelanggan Institut Perkhidmatan Awam (HPIPA) merupakan salah satu inisiatif pendekatan institut untuk berinteraksi dan memberi khidmat pelanggan secara langsung dengan bertemakan Penyampaian Perkhidmatan yang Cemerlang.

    Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah IPA, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Md Salleh dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran HPIPA bagi 2024 yang berlangsung di IPA, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran HPIPA 2024 dengan pelancaran Video Korporat dan Program Direktori Pembelajaran dan Pembangunan IPA bagi April 2024-Mac 2025 ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin.

    Majlis turut dihadiri oleh pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, komiti penghubung berkepentingan (SLC) dan Duta Pembangunan Sumber Tenaga (HRDA) kementerian dan jabatan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga swasta selaku jemputan khas.

    Dr Hajah Noor Maya berkata bahawa majlis turut menyaksikan sesi perkongsian bertajuk Artificial Intelligence in the Public Sector yang disampaikan oleh Penolong Profesor Kanan Universiti Teknologi Brunei, Lim Tiong Hoo.

    Awang Ajman menyaksikan salah satu pameran semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara tetamu yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Beliau berkata, tajuk sesi berkenaan disejajarkan dengan tema Hari Pelanggan yang sangat bertepatan dengan era pendigitalan yang dihadapi masa kini.

    “Kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu memperbaiki perkhidmatan jabatan kerajaan antara lain dapat mengurangkan perbelanjaan, mempercepat proses, menjimatkan masa bekerja dan memberikan perkhidmatan yang lebih cepat dan lancar,” tambah Dr Hajah Noor Maya.

    Pada majlis berkenaan, Awang Ajman turut berpeluang menyaksikan pameran yang menampilkan beberapa agensi terdiri daripada Biro Mencegah Rasuah, Biro Kawalan Narkotik, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan serta Tabung Amanah Pekerja di mana mereka mengongsikan mengenai peranan utama dan inisiatif masing-masing.

    HPIPA bermatlamat untuk membarigakan program dan perkhidmatan IPA, meningkatkan pengetahuan mengenai etika kerja, pembangunan keupayaan, integriti, kesejahteraan, keselamatan siber dan kemahiran asas di dalam IT bagi memastikan perkhidmatan awam dilengkapi dengan kemahiran dan kompetensi diperlukan menuju ke arah kecemerlangan organisasi dan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh rangkaian kerja bersama kementerian atau jabatan, swasta dan GLC.

    Antara aktiviti yang diselitkan semasa HPIPA 2024 termasuk penyampaian khas mengenai AI in the Public Sector daripada pihak Universiti Teknologi Brunei (UTB), Ramadan Talk Series dan pameran melibatkan beberapa jabatan kerajaan, swasta dan GLC.

    Sekurang-kurangnya 90 buah program akan ditawarkan termasuk planner yang berasaskan kompetensi di samping program-program signature dan flagship, membariskan program-program kepimpinan, urus tadbir, ICT, inovasi, komunikasi, pengurusan, sumber manusia dan perkhidmatan pelanggan telah disediakan di mana 31 peratus daripadanya merupakan program berupa inovasi dan ICT. 

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...