Monday, May 20, 2024
34.6 C
Brunei

    -

    Projek selamatkan kura-kura terbesar, paling unik di AS

    ENGLE, N.M. – Walaupun jangka hayat purata spesies kura-kura terbesar dan paling unik di Amerika Utara tidak diketahui, ahli biologi berkata ia boleh menjangkau lebih daripada satu abad.

    Oleh itu, menyelamatkan spesies terancam itu adalah satu usaha yang panjang – yang mendapat dorongan pada hari Jumaat apabila pegawai hidupan liar Amerika Syarikat (AS) memuktamadkan perjanjian dengan Dana Spesies Terancam Ted Turner yang membuka jalan untuk melepaskan lebih banyak kura-kura Bolson di ladang jutawan media di tengah New Mexico.

    “Perjanjian pelabuhan selamat” akan memudahkan pelepasan kura-kura dalam tawanan di Ladang Armendaris untuk mewujudkan populasi bebas. Pengarah Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS, Martha Williams berkata perjanjian itu, yang menawarkan perlindungan pemilik tanah persendirian daripada undang-undang, boleh menjadi model apabila pegawai mencari cara yang lebih inovatif untuk bekerja dengan Akta Spesies Terancam.

    Berpuluh-puluh orang berkumpul untuk membebaskan 20 lagi kura-kura dewasa pada Jumaat, yang sudah menjadi tempat tinggal kepada 23 daripadanya serta puluhan kura-kura kecil. Dengan matahari terik dan suhu menghampiri 32 darjah Celsius, pelepasan ditangguh sehingga petang untuk memastikan keselesaan kura-kura.

    Kura-kura biasanya menghabiskan kira-kira 85 peratus masa di dalam liang tanah, yang dalam beberapa kes boleh berukuran kira-kira 20 meter panjang.

    Gertie, kura-kura spesies terancam Bolson ditunjukkan kepada kumpulan pegawai hidupan liar semasa kunjungan ke Ladang Armendaris Ted Turner di Engle. – Gambar AP
    Kura-kura Bolson dilihat di Ladang Armendaris. – Gambar AP
    Anak kura-kura Bolson disimpan dalam bekas plastik sebelum dilepaskan di Ladang Armendaris. – Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Shawn Sartorius, penyelia lapangan dengan Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar, berkata hasil usaha pembiakan dan pemulihan untuk haiwan yang lambat membiak dan hidup lama itu tidak akan diketahui sepanjang hayatnya.

    “Apa yang kami lakukan di sini adalah mewujudkan populasi di sini yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang,” kata Sartorius.

    Ini adalah satu langkah ke arah pelepasan kura-kura secara lebih meluas di Southwest satu hari nanti ketika penyokong pemuliharaan mendesak kerajaan persekutuan mempertimbangkan untuk membuat pelan pemulihan untuk spesies itu.

    Kura-kura itu hanyalah contoh terbaharu usaha yang semakin meningkat untuk mencari rumah baharu bagi spesies terancam kerana perubahan iklim dan ancaman lain mengusir haiwan itu dari habitatnya.

    Kini hanya ditemui di padang rumput di utara-tengah Mexico, kura-kura pernah mempunyai habitat yang lebih besar termasuk barat daya AS. Rekod fosil juga menunjukkan ia pernah wujud di selatan Great Plains, termasuk kawasan Texas dan Oklahoma.

    Populasi liar di Mexico dipercayai terdiri daripada kurang 2,500 kura-kura, dan pakar mengatakan ancaman terhadap haiwan itu semakin meningkat apabila ia diburu untuk makanan dan dijadikan haiwan peliharaan. Habitatnya juga semakin mengecil apabila lebih banyak padang rumput padang pasir ditukar kepada tanah ladang.

    Walaupun sudah berabad-abad sejak kura-kura berkeliaran liar di kawasan yang kini dikenali sebagai New Mexico, Mike Phillips, pengarah Dana Spesies Terancam Turner, berkata sudah tiba masanya untuk ahli biologi mempertimbangkan semula titik rujukan ekologi yang paling penting apabila bercakap tentang pemulihan spesies terancam.

    Perubahan iklim menjejaskan sistem ekologi dan mengubah kepentingan keadaan sejarah dalam pemulihan, kata Phillips. Dia menunjuk kepada kes kura-kura, menyatakan habitat yang sesuai akan beralih ke utara semula apabila keadaan di Barat Daya AS menjadi lebih kering dan lebih panas.

    Tanpa kesanggupan pengurus hidupan liar untuk berfikir secara lebih luas, menurutnya, spesies seperti kura-kura Bolson mungkin mempunyai masa depan yang suram.

    “Nampaknya dalam konteks pemulihan, ladang bersejarah harus dipertimbangkan. Kawasan prasejarah kadangkala penting juga,” katanya dalam satu temu bual.

    “Tetapi yang paling penting, kawasan masa hadapan – kerana pemulihan adalah mengenai membetulkan kesilapan, ia mengenai memperbaiki keadaan. Masa depan adalah perkara yang sangat relevan untuk pemulihan.”

    Setakat ini ladang itu, yang menjangkau lebih 1,450 kilometer persegi terbukti menjadi tempat yang ideal. Landskapnya adalah serupa dengan tempat kura-kura ditemui di Mexico, dan kerja yang dilakukan di ladang dan di Zoo dan Taman Living Desert di Carlsbad telah menyaksikan lebih 400 kura-kura ditetaskan sejak 2006.

    Secara keseluruhannya, Dana Spesies Terancam Turner dan rakan kongsinya berjaya menambah populasi daripada 30 kura-kura kepada kira-kira 800 ekor, kata Chris Wiese, yang mengetuai projek itu di Ladang Armendaris.

    “Pelepasan adalah langkah penting untuk mengembalikan kura-kura ke tanah dan membiarkannya menjadi kura-kura liar. Bagi kami, ini adalah kemuncak usaha yang kami lakukan,” katanya.

    Kura-kura yang dilepaskan pada Jumaat akan berkeliaran dengan bebas di dalam kandang seluas 6.6 hektar seperti yang dilakukannya di habitat liar.

    Haiwan itu dilengkapi transponder supaya ia boleh dijejaki dan pengurus hidupan liar akan menyemaknya sekali setahun.

    Bergantung pada keadaan cuaca dan ketersediaan makanan ternakan, ia boleh mengambil masa beberapa tahun atau lebih untuk anak menetas mencapai lebih daripada 4 inci panjang. Ia akhirnya boleh membesar hingga kira-kira 14.5 inci.

    Spesies itu tidak diketahui oleh sains sehingga akhir 1950an dan tidak pernah dikaji secara meluas.

    “Setiap hari, kami belajar lebih banyak tentang sejarah semula jadi kura-kura Bolson,” kata Phillips.

    “Kami bukan dalam perniagaan membuat haiwan peliharaan,” katanya. “Kami dalam perniagaan membantu haiwan liar dan itu bermakna awda perlu melepaskannya.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...