Monday, December 2, 2024
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek tingkat ilmu, kemahiran usahawan wanita

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), melalui Darussalam Enterprise (DARe), dalam kapasitinya sebagai wakil negara ini kepada Jawatankuasa Penyelaras ASEAN bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME), telah melancarkan projek Enhancing Digital Participation for ASEAN Women MSME (IDEAS), hari ini.

    Pelancaran projek itu telah di rasmikan bersama oleh Pengarah Kemajuan Perusahaan, Dayang Norlela binti Suhailee, yang juga merupakan wakil utama bagi ACCMSME Brunei Darussalam dan Timbalan Ketua Setiausaha bagi Perancangan di Pusat Rangkaian Maklumat Wanita Asia Tenggara (APWINC), Dr Han Na Kim, bagi pihak Pengarah Eksekutif di Universiti Wanita Sookmyung, Korea Selatan, Dr Jungin Jo.

    Majlis diadakan di Auditorium Utama, Bangunan D&T di Anggerek Desa itu turut dihadiri oleh agensi dan rakan kongsi yang berkaitan termasuk perunding, mentor, jurulatih projek dan pelatih.

    Di majlis itu, Dayang Norlela dalam ucapannya antara lain menekankan kepentingan usaha pelbagai organisasi di peringkat ASEAN dan nasional dalam mengarus-perdanakan penyertaan PMKS wanita dalam aktiviti ekonomi.

    Katanya lagi, “Pelbagai program dan inisiatif pembangunan telah dilancarkan untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan usahawan wanita memulakan perjalanan keusahawanan, memupuk pertumbuhan dan meningkatkan impak mereka dalam landskap ekonomi.”

    Dayang Norlela dan Dr Han Na Kim semasa menghadiri majlis pelancaran projek tersebut. – GAMBAR SERAHAN LKEB
    Antara yang turut hadir semasa pelancaran projek bekenaan. – GAMBAR SERAHAN LKEB

    Dengan pelaksanaan projek itu, beliau berharap dapat melihat sesuatu yang memberangsangkan terhadap penyertaan usahawan wanita Brunei dalam menimba ilmu dan kemahiran baharu.

    “Ini akan membawa pengalaman transformatif yang membantu membentuk semula dan mengukuhkan pendekatan mereka terhadap keusahawanan,” jelasnya.

    Perlaksanaan inisitaif berterusan oleh ACCMSME di bawah Pelan Tindakan Strategi ASEAN untuk Pembangunan PKS 2016-2025 (SAP SMED 2025) adalah dengan kerjasama APWINC Universiti Wanita Sookmyung, Korea Selatan.

    Antara lain tujuan projek tersebut adalah untuk memberi peluang kepada usahawan wanita bagi mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi ASEAN dengan meningkatkan kapasiti mereka bagi menggunakan ICT dan platform perniagaan dalam talian melalui latihan serta akses kepada maklumat sambil meningkatkan kesalinghubungan dalam kalangan negara anggota ASEAN (AMS) termasuk antara AMS dan Republik Korea.

    Dengan jumlah pembiayaan lebih daripada AS5.6 juta daripada Dana Kerjasama ASEAN-Korea (AKCF) yang memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan wanita di seluruh ASEAN, dan projek itu bermula pada Januari 2022 dengan kerjasama perunding dan institusi pelaksana dari ASEAN.

    Projek dijangka berlangsung sehingga 2026 dengan beberapa aktiviti termasuk membangunkan kit latihan e-Perniagaan untuk PMKS wanita ASEAN, memupuk jurulatih e-Perniagaan dalam AMS, dan latihan membina kapasiti e-Perniagaan untuk wanita PMKS dalam AMS, selain menggalakkan dan menyokong PMKS wanita ASEAN bagi mengambil bahagian dalam ekonomi digital.

    Bagi Negara Brunei Darussalam, projek IDEAS yang dilaksanakan dengan kerjasama Big BWN adalah sebagai melantik rakan pelaksana negara dan dijangka akan menyampaikan latihan kepada seramai 242 penerima merentasi keempat-empat buah daerah bermula dari 9 Jun 2024 hingga Disember 2025.

    Pelaksanaan projek tersebut akan melibatkan 14 jurulatih tempatan bakal menyampaikan modul latihan yang disesuaikan dengan keperluan, keadaan dan konteks negara.

    Modul tersebut merangkumi topik seperti Penjanaan dan Inovasi Model Perniagaan, Pembangunan Pelanggan, Pengumpulan Dana, e-Dagang, Teras Pemasaran Digital, Pemasaran Digital Lanjutan, Pembangunan Teras Kandungan Digital, Pembangunan Kandungan Digital Lanjutan, Privasi dan Keselamatan Siber serta Pemerkasaan Wanita dalam Ekonomi Digital.

    Ia bermatlamat memperkasakan usahawan wanita secara aktif supaya mengambil bahagian dalam ekonomi digital dengan meningkatkan kapasiti untuk beralih kepada perniagaan dalam talian melalui penggunaan e-Perniagaan dan kemahiran digital.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda