Tuesday, May 21, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Pusat kesihatan EU desak peningkatan vaksinasi bendung kes batuk kokol

    STOCKHOLM, 9 MEI – Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menyeru negara anggota meningkatkan usaha vaksinasi susulan peningkatan ketara kes batuk kokol yang dilaporkan.

    Menurut kenyataan ECDC, hampir 60,000 kes jangkitan yang berpotensi membawa maut telah dilaporkan dari 2023 hingga April tahun ini oleh negara-negara dalam Kesatuan Eropah (EU) dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA). Ini merupakan peningkatan 10 kali ganda berbanding dua tahun sebelumnya, dengan lebih 32,000 kes dilaporkan antara Januari dan Mac sahaja.

    Kenaikan kes batuk kokol, yang juga dikenali sebagai Pertusis, berkait rapat dengan beberapa faktor termasuk peningkatan wabak yang dijangka, ketiadaan vaksinasi, vaksinasi lama, kekurangan imuniti dan penurunan imun semula jadi dalam kalangan penduduk semasa pandemik COVID-19, kata ECDC.

    Anak damit di bawah umur enam bulan berisiko paling tinggi mengalami kesan buruk, dengan majoriti kemasukan ke hospital dan kematian berkaitan pertusis berlaku dalam kumpulan umur ini.

    Pengarah ECDC, Andrea Ammon menekankan kepentingan vaksinasi dengan mengatakan bahawa “vaksin terhadap pertusis terbukti selamat dan berkesan, dan setiap tindakan kita hari ini menentukan kesihatan masa depan.”

    “Kita mempunyai tanggungjawab sebagai ibu bapa dan juga sebagai profesional kesihatan awam untuk melindungi kumpulan paling terdedah daripada kesan maut penyakit ini,” tambah Ammon.

    Pesuruhjaya Kesihatan dan Keselamatan Makanan EU, Stella Kyriakides turut menekankan perlunya berjaga-jaga dan pentingnya vaksinasi dalam mencegah penyebaran penyakit tersebut. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...