Wednesday, January 15, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Revolusi pengangkutan udara masa depan

    SAN FRANCISCO – Pada tahun 1980an, JoeBen Bevirt yang ketika itu masih lagi seorang kanak-kanak yang menempuh perjalanan jauh dan membosankan antara sekolah dan rumahnya di kawasan pergunungan berhutan, mula berangan-angan tentang kewujudan kereta terbang yang dapat membawanya ke destinasi dalam tempoh hanya beberapa minit.

    Kini, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Joby Aviation, Bevirt hampir merealisasikan impian masa kecilnya selepas memperkenalkan kelas baharu pesawat berkuasa elektrik yang bercita-cita untuk menjadi teksi udara masa hadapan.

    Pesawat tersebut, yang dikenali sebagai kenderaan elektrik yang berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), mampu berlepas dari tanah seperti helikopter sebelum meluncur pada kelajuan sehingga 322 kilometer sejam dengan jarak perjalanan sekitar 161 kilometer.

    Tambahan pula, pesawat itu beroperasi tanpa menghasilkan bunyi bising yang keterlaluan, seperti yang biasa didengar daripada helikopter dan pesawat kecil yang menggunakan bahan api.

    “Kami hanya tinggal beberapa langkah untuk mencapai matlamat kami. Kami mahu memendekkan waktu perjalanan daripada satu hingga dua jam menjadi hanya lima minit,” kata Bevirt, 51, kepada Associated Press sebelum sebuah teksi udara Joby memulakan ujian penerbangan di Marina, California, kira-kira 40 batu dari tempat dia membesar di kawasan pergunungan.

    Sebuah pesawat eVTOL yang dibina oleh Joby Aviation diletakkan di sebuah lapangan terbang di Marina, California, pada Isnin, 7 Oktober 2024. – AP
    Seorang pekerja Joby Aviation sedang melakukan pemasangan pesawat eVTOL di Marina, California. – AP
    Bevirt berdiri di sebelah pesawat eVTOL di Marina, California. – AP

    Sementara itu, Archer Aviation, sebuah syarikat yang berpangkalan di Silicon Valley dan disokong oleh pembuat kenderaan Stellantis serta United Airlines, turut menguji eVTOL di kawasan ladang di Salinas, California. Pada November lalu, prototaip pesawat dikenali sebagai Midnight dilihat terbang di udara, di atas sebuah traktor yang sedang membajak ladang.

    Ujian itu merupakan sebahagian daripada usaha Joby Aviation dan beberapa syarikat lain yang telah mengumpulkan dana bernilai berbilion dolar untuk menjadikan kereta terbang lebih daripada sekadar konsep dalam fiksyen. Konsep ini pernah dipopularkan menerusi siri kartun era 1960an, The Jetsons dan filem fiksyen sains tahun 1982, Blade Runner.

    Selain Joby Aviation, Archer Aviation dan Wisk Aero – yang mempunyai hubungan dengan syarikat aeroangkasa gergasi Boeing Co dan pengasas bersama Google, Larry Page – turut berada di barisan hadapan dalam perlumbaan untuk membawa teksi udara ke pasaran Amerika Syarikat (AS). Joby telah menjalin kerjasama dengan Delta Air Lines untuk menghubungkan teksi udara mereka dengan penumpang syarikat penerbangan itu, manakala Archer Aviation telah menandatangani perjanjian untuk menjual sehingga 200 pesawatnya kepada United Airlines.

    Perkembangan teksi udara telah mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS, termasuk penciptaan kategori pesawat baharu yang dikenali sebagai powered lift. Ia merupakan langkah pertama sejak pengenalan helikopter untuk kegunaan awam pada tahun 1940an.

    Namun begitu, terdapat beberapa halangan peraturan yang perlu diselesaikan sebelum teksi udara dibenarkan membawa penumpang di AS. Ini menjadikan Dubai sebagai lokasi pertama untuk operasi komersial eVTOL — berkemungkinan seawal hujung tahun ini.

    “Membangunkan kelas baharu kenderaan seperti ini merupakan satu cabaran yang kompleks,” kata Alan Lim, Pengarah Alton Aviation Consultancy, sebuah firma yang memantau evolusi industri tersebut.

    “Ia seperti proses merangkak, berjalan, dan berlari. Ketika ini, saya berpendapat kita masih di peringkat merangkak. Kita tidak akan melihat realiti seperti The Jetsons di mana semua orang terbang ke mana-mana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” tambahnya.

    China juga sedang berlumba-lumba untuk merealisasikan kereta terbang, usaha yang turut menarik perhatian Presiden terpilih AS, Donald Trump, yang ingin menjadikan kenderaan itu sebagai salah satu keutamaan dalam pentadbirannya untuk tempoh empat tahun akan datang.

    Jika cita-cita perintis eVTOL direalisasikan di AS, orang ramai akan dapat menaiki teksi udara untuk perjalanan ke dan dari lapangan terbang yang berkhidmat di New York dan Los Angeles dalam beberapa tahun akan datang.

    Dengan kemampuan teksi elektrik ini untuk terbang tanpa halangan pada kelajuan tinggi, Joby membayangkan untuk mengangkut sehingga empat penumpang Delta Air Lines pada satu masa dari lapangan terbang di kawasan New York ke Manhattan dalam tempoh sekitar 10 minit atau kurang. Pada peringkat awal, harga perkhidmatan teksi udara hampir pasti lebih mahal berbanding kos menaiki teksi atau Uber dari Lapangan Terbang JFK ke Manhattan.

    Bagaimanapun, perbezaan harga ini dijangka berkurang dari semasa ke semasa memandangkan eVTOL mampu mengangkut lebih ramai penumpang berbanding kenderaan darat yang sering terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

    “Awda akan melihat lebuh raya di udara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Archer Aviation, Adam Goldstein, dalam satu temu bual di ibu pejabat syarikat itu di San Jose, California.

    “Akan terdapat ratusan, mungkin ribuan kenderaan ini terbang di bandar-bandar tertentu, dan ia benar-benar akan mengubah cara bandar-bandar dibangunkan,” jelasnya.

    Keyakinan terhadap visi Goldstein mendorong pelabur untuk menyokong usaha Archer, dengan syarikat itu berjaya mengumpulkan tambahan AS$430 juta pada penghujung tahun lalu daripada kumpulan pelabur termasuk Stellantis dan United Airlines.

    Suntikan dana itu dibuat tidak lama selepas sebuah syarikat pembuat kenderaan Jepun melaburkan AS$500 juta ke dalam Joby, menjadikan jumlah pelaburan dalam syarikat itu hampir AS$900 juta.

    Menurut Alton Aviation, pelaburan ini adalah sebahagian daripada AS$13 bilion yang berjaya diraih oleh syarikat eVTOL dalam tempoh lima tahun lalu.

    Joby Aviation dan Archer Aviation masing-masing disenaraikan sebagai syarikat awam pada tahun 2021 melalui penggabungan, membuka peluang untuk mendapatkan dana tambahan serta menarik jurutera dengan insentif saham.

    Kedua-dua syarikat ini berjaya menarik pekerja daripada pembuat kenderaan elektrik Tesla dan pembuat roket SpaceX, manakala Archer turut mengambil pekerja dari Wisk Aero.

    Penghijrahan para pekerja dari Wisk mencetuskan tindakan undang-undang yang menuduh Archer mencuri harta intelek. Namun, pertikaian itu diselesaikan pada tahun 2023 dengan persetujuan kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam beberapa aspek teknologi eVTOL.

    Sebelum disenaraikan sebagai syarikat awam, Joby turut memperoleh teknologi eVTOL yang dibangunkan oleh perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber melalui perjanjian bernilai AS$83 juta, yang menjadikan kedua-dua syarikat itu sebagai rakan kongsi.

    Walau bagaimanapun, tiada perjanjian atau kemajuan teknologi yang mampu menghalang kerugian besar yang ditanggung oleh syarikat-syarikat pembangun kereta terbang ini.

    Joby, yang diasaskan oleh JoeBen Bevirt pada tahun 2009, telah mencatatkan kerugian sebanyak AS$1.6 bilion sejak penubuhannya, manakala Archer mencatat kerugian hampir AS$1.5 bilion sejak ditubuhkan pada tahun 2018.

    Sambil bergerak ke arah perkhidmatan teksi udara komersial, kedua-dua Joby dan Archer sedang berusaha menjana pendapatan dengan berunding untuk menggunakan eVTOL mereka dalam pasukan tentera AS bagi tujuan penghantaran dan misi jarak dekat.

    Archer turut menjalin kerjasama dengan Anduril Industries, sebuah syarikat teknologi pertahanan tentera yang diasaskan oleh pencipta alat dengar Oculus, Palmer Luckey, untuk membantu mereka memenangi kontrak tersebut.

    Prospek yang tidak menentu ini menjadikan kedua-dua syarikat mempunyai nilai pasaran yang agak rendah mengikut standard industri teknologi, dengan nilai pasaran Joby dianggarkan sekitar AS$7 bilion, manakala Archer sekitar AS$6 bilion. Namun, Bevirt kekal optimis.

    “eVTOL akan mengubah cara kita bergerak,” katanya.

    “Ia adalah cara yang jauh lebih baik untuk bergerak. Melihat dunia dari udara lebih baik daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di lebuh raya,” tambahnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda