Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia lancar kapal angkasa kargo ke ISS

    MOSCOW, 15 OGOS – Rusia berjaya melancarkan kapal angkasa kargo Progress MS-28 ke orbit hari ini, menggunakan roket pengangkut Soyuz-2.1a, menurut kenyataan daripada agensi angkasa negara itu, Roscosmos.

    Pelancaran tersebut dilakukan pada pukul 6:20 pagi waktu tempatan dari Kosmodrom Baikonur. Kapal angkasa itu membawa pelbagai bekalan, peralatan saintifik dan bahan segar untuk Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

    Progress MS-28 dijangka tiba di ISS dalam tempoh dua hari, dengan proses dok dijadualkan pada Sabtu, pukul 8:56 pagi waktu tempatan, dan dijangka berlabuh di modul perkhidmatan Zvezda di ISS, membawa kira-kira 2,621 kilogram kargo.

    Antara bekalan yang dihantar termasuk 950 kilogram bahan bakar untuk pengisian semula, 420 liter air minuman, dan 50 kilogram nitrogen termampat.

    Kapal angkasa itu juga membawa makanan, pakaian dan alat-alat untuk pelbagai eksperimen saintifik.

    Selain itu, peralatan saintifik penting turut dihantar, termasuk spektrometer sinar-X, SPIN-X1-MVN yang akan dipasang di luar modul Zvezda semasa aktiviti berjalan angkasa yang dijadualkan akan datang.

    Alat itu akan membolehkan saintis menjalankan tinjauan hampir menyeluruh terhadap sfera cakerawala dalam spektrum sinar-X.

    Kargo tersebut juga mengandungi instrumen lain yang akan digunakan untuk melaksanakan eksperimen saintifik baharu, termasuk eksperimen pernafasan paksa yang bertujuan menilai fungsi paru-paru semasa penerbangan angkasa yang berpanjangan. – Xinhua

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda