LONDON, 19 JAN – Mikel Arteta mengakui Arsenal perlu dipersalahkan kerana keputusan seri 2-2 mereka yang merugikan kerana kelemahan pertahanan semasa menentang Aston Villa.
Skuad Arteta berada di landasan untuk bersaing kembali di belakang Liverpool selepas Gabriel Martinelli dan Kai Havertz menjaringkan gol mendahului dua gol pada minit ke-55.
Tetapi Arsenal tumbang pada pertengahan separuh masa kedua apabila Youri Tielemans mengurangkan defisit dan Ollie Watkins menyumbat gol penyamaan lapan minit kemudian.
Ia adalah tamparan hebat kepada harapan Arsenal dan Arteta mengakui Arsenal bersalah atas kesilapan pertahanan yang membolehkan Villa kembali melawan.
“Bangga dengan cara pemain bermain dan bersaing, kali ketiga dalam tempoh enam hari. Untuk dominasi dan persembahan seperti itu, mereka cemerlang. Kami berhak mendapat lebih banyak lagi, itu jelas,” katanya.
“Tetapi cara kami bertahan, terutama gol kedua, tidak boleh menjadi sebahagian daripada permainan kami.
“Bolos dua gol tidak boleh menjadi sebahagian daripada permainan kami jika awda mahu sentiasa menang. Ia tidak mencapai standard yang kami tuntut.”
Sementara Bos Villa, Unai Emery sekali lagi menghantui The Gunners, yang pernah memecatnya pada 2019 selepas kurang daripada dua musim mengendalikan Arsenal. Villa juga pernah menang dua kali menentang Arsenal musim lalu.
“Kami beraksi cemerlang selepas bolos dua gol, ia adalah hebat. Dalam mentaliti kami hari ini, kami tidak akan berputus asa dan kami cuba menjaringkan gol,” kata Emery.
“Arsenal berusaha keras dan mencipta beberapa peluang, tetapi kamilah yang mendapat satu lagi gol.
“Arsenal sangat kuat di tempat sendiri. Inilah tahap yang kami contohi, tetapi kami masih mempunyai kerja untuk dilakukan kerana mereka sangat kuat. Untuk bangkit melawan seperti yang kami lakukan adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan sesuatu di sini,” ujar Emery. – AFP