KUCHING, 22 JAN – Orang ramai dijemput menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Sarawak yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 29 Januari.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata rumah terbuka itu bermula 8:45 pagi hingga 2 petang.
“Majlis Seni Sarawak telah menyediakan beberapa acara persembahan menarik termasuk Tarian Singa.
“Pada tahun ini, tetamu akan dihidangkan dengan pertunjukan istimewa oleh Oriental Chinese Orchestra.Rumah terbuka itu juga akan menampilkan persembahan penyanyi tempatan Valerie Thiam, Ng Chien Chien, Ivando, Roxy Ixy, dan Hafizah,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Dr Sim berkata Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ ani Tuanku Bujang dijangka menghadiri majlis berkenaan.
Sambutan peringkat negeri itu juga akan disiarkan secara langsung di laman Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak dan saluran YouTube. – Bernama