Pelakon Sharifah Sakinah menolak untuk kembali ke pangkuan bekas suami, Aliff Adha selepas bercerai, Mei lalu.
Sakinah, 31, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya dan anak tunggalnya, Anais Adha yang berusia tiga tahun.
“Saya tidak mahu kembali (ke pangkuan bekas suami) kerana tidak mampu memberi komitmen untuk menjadi isteri yang baik, apatah lagi dengan keadaan saya yang mempunyai masalah Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).
“Sejujurnya, saya lega selepas berpisah kerana tiada lagi orang boleh menuduh suami saya dayus atau tidak tahu mengawal saya yang sukakan perhatian,” katanya ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta Wholly Fitz di sini.
Mengulas kehidupannya sebagai ibu tunggal, pelakon telefilem Girlfriend Aku Dari Neraka ini mengaku masih belum betah menyesuaikan diri dengan status itu.

Sehubungan itu, Sakinah banyak meluangkan masa bekerja supaya tidak terlalu memikirkan masalah rumah tangga.
“Kehidupan saya masih haru-biru. Kami baru berpisah, jadi perasaan saya masih sakit. Lagipun, kami bukan bersama sehari dua, malah, saya dengan Aliff tidak pernah bergaduh.
“Anais juga sering menitiskan air mata apabila berjumpa dengan bapanya dan sering meletakkan tangan kami bersama-sama,” katanya yang mendapat hak jagaan anak.
Selain itu, Sakinah tidak menafikan penyakit ADHD yang dihidapinya menjadi salah satu punca perceraian selepas empat tahun berkahwin.
“Banyak sebab (perceraian) tetapi penyakit itu menjadi salah satu faktor perpisahan kami. Buat masa sekarang, saya sedang menjalani rawatan.
“Selain merujuk kepada psikiatri dan terapi, saya mengambil ubat.
“Saya tidak mahu membebankan bekas suami untuk menjaga saya lagi. Saya mahu ruang dan masa untuk diri sendiri dahulu,” jelas adik kepada pelakon, Sharifah Shahira itu. – Agensi