Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Seni dan budaya teguhkan perpaduan

    KUALA LUMPUR – Dikir barat, Mak Yong, Opera Cina, Tarian Ngajat dan Tarian Bharathanatyam adalah antara khazanah seni tradisional negara yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.

    Anggun juga warisan ini kerana ia semakin menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk individu dan agensi kerajaan untuk menjadikannya sebagai tunjang memperkukuhkan lagi perpaduan kaum yang sedia terjalin hampir 65 tahun.

    Penari dan koreografer tarian klasik India negara yang tersohor, Datuk Ramli Ibrahim dan pemain biola terkenal Endang Hyder yang berkemahiran memainkan alat muzik tradisional Cina dikenali Erhu adalah antara sebahagian nama mengukir kejayaan menerusi kesenian bangsa lain.

    Keunikan inilah yang menjadi prinsip asas penubuhan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai institusi pemupukan dan penyemaian kepelbagaian seni dan kebudayaan Malaysia.

    Bersatu menerusi seni
    Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat ASWARA, Tujeri Shah Abdul Razak, pelajar Akademi berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum serta etnik merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak, boleh diibaratkan sebagai ‘pemangkin integrasi nasional’.

    Aksi Kumpulan Sound Creative dari Pasir Putih melakukan persembahan pada Pertandingan Dikir Barat 2022 bagi peringkat akhir. – Bernama
    Aksi dua orang penari mempersembahkan tarian mak yong dalam persembahan teater. – Bernama

    Ini memandangkan mereka daripada latar belakang yang berbeza namun mereka disatukan melalui kesedaran murni terhadap keunggulan seni dan budaya yang diwarisi.

    “Apa yang boleh saya katakan, pelajar yang menyertai ASWARA adalah daripada pelbagai latar belakang. Mereka bukan sahaja berlainan dari segi kaum dan agama tetapi latar belakang pendidikan juga berbeza.

    “Pelajar akademi ini juga dari kalangan etnik Sabah dan Sarawak termasuk Iban dan Kadazan. Mereka disatukan menerusi kesedaran serta kecintaan terhadap warisan seni, budaya negara kita,” katanya baru-baru ini.

    Ditubuhkan pada 1994, ASWARA adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang persembahan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menyediakan ruang pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan akedemik serta khidmat nasihat profesional dalam bidang seni, budaya serta warisan negara.

    Institusi ini menawarkan beberapa program berkaitan seni kebudayaan pelbagai kaum merangkumi muzik, tarian, teater, penulisan kreatif dan filem serta animasi dan multimedia yang bermula daripada peringkat sijil sehingga Doktor Falsafah (PhD).

    Mengulas lanjut, Tujeri Shah berkata, ASWARA mendedahkan masyarakat terutamanya golongan muda mengenai seni dan budaya negara yang bukan sekadar terbatas kepada persembahan dan hiburan semata-mata malahan lebih daripada itu.

    “Sebagai contoh, apabila ASWARA menjadikan Mak Yong dan Wayang Kulit sebagai subjek teras yang perlu diambil oleh semua pelajar dan mereka tidak hanya belajar seni persembahan tetapi turut ditekankan mengenai adab, tertib dan sifat hormat seni berkenaan.

    “Semangat perpaduan serta kesatuan turut disemai dalam menterjemahkan persembahan seni berkenaan. Sikap murni seperti inilah yang kita mahu pupuk terutamanya dalam kalangan generasi muda hari ini,” katanya.

    Wujudkan silang budaya
    ASWARA turut mendedahkan pelajar dengan seni silang budaya bagi meraikan perbezaan yang wujud dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

    Seperti yang dijelaskan oleh Tujeri Shah, pendekatan berkenaan merangkumi tarian dan penggunaan pelbagai instrumen yang berindentitikan sesuatu kaum dan etnik di negara ini.

    “Majoriti pelajar ASWARA adalah dalam kalangan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang mempunyai bakat kesenian dan kita cuba kembangkan lagi bakat mereka agar tidak hanya terhad kepada seni tertentu sahaja.

    “Sepertimana Mak Yong dan Wayang Kulit, kita turut perkenalkan tarian klasik India sebagai subjek teras dan menariknya pelajar Melayu sangat mahir dengan tarian ini dan tidak kekok (menari) seperti Tarian Bharatanatyam, meskipun mereka tidak diberikan pendedahan tarian tersebut sebelum ini,” katanya.

    Menurut beliau, persembahan pergendangan iaitu paluan muzik daripada pelbagai jenis gendang tradisional juga turut menonjolkan bakat pelajar ASWARA.

    “Sewaktu Program Berjalan Teguh Bersama bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelajar kita turut memeriahkan program berkenaan dengan persembahan pergendangan.

    “Seramai 15 orang pelajar ASWARA membuat persembahan pergendangan dengan paluan gendang pelbagai kaum berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.

    Perkasa seni budaya negara
    Mengulas lanjut, beliau berkata kesenian dan kebudayaan negara perlu terus diperkasakan agar ia tidak ditelan zaman.

    Mengambil contoh Mak Yong iaitu seni warisan tertua dari Negeri Kelantan dan turut diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Karya Agung Warisan Tidak Ketara, Tujeri Shah berkata, karya seni itu perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

    “Sebab itu, di ASWARA kita bukukan segala karya seni tradisional bahkan tenaga pengajar kita juga adalah kalangan pakar, mereka yang berkemahiran mengenainya.

    “Kita tidak mahu satu hari kelak, generasi akan datang tidak tahu mengenai seni warisan negara dan bagi saya, karya seni seperti inilah yang akan mewujudkan keharmonian dan keunikan dalam masyarakat kita yang pelbagai bangsa,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 pada dua tahun lepas memberi impak sangat ketara kepada industri seni negara.

    Untuk itu, beliau amat berharap semua pihak terus memainkan peranan lebih proaktif bagi menghidupkan kembali industri berkenaan.

    “Saya melihat industri ini kembali bernafas semula dengan pelbagai program yang dianjurkan kerajaan termasuk Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang turut melibatkan penyertaan pelajar ASWARA.

    “Program menjelajah di beberapa buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak memberi impak positif serta pengalaman baharu kepada pelajar dalam mempromosikan serta mempersembahkan kegiatan seni mereka dengan mengambil pendekatan konsep ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.

    Contoh terbaik untuk generasi muda
    Sementara itu, pandangan senada turut disuarakan pelajar ASWARA, Ahmad Danialomar Khairudin, 19, yang menyifatkan program seperti AKM dapat menonjolkan lagi kesenian, kebudayaan dan warisan kaum di Malaysia dalam bentuk kesenian.

    Menurut pelajar Fakulti Seni Muzik yang berasal dari Johor itu, dengan bermain alat muzik bersama rakan berlainan kaum, ia secara tidak langsung dapat memberi contoh terbaik kepada generasi muda untuk bergaul dengan rakan berlainan kaum.

    “Untuk program AKM, kami mempersembahkan lagu-lagu rakyat pelbagai kaum di Malaysia seperti Puteri Santubong (lagu rakyat Sarawak) dan Lemak Manis (lagu rakyat Pahang) untuk menceritakan keunikan masyarakat di Malaysia.

    “Tidak ketinggalan, kami turut memainkan alat musik tradisional Melayu, Cina dan India seperti rebana, kompang, gambus, tabla dan Liuyeqin. Cara ini dapat memberi ilmu kepada orang ramai dengan mengenali instrumen berkenaan,” katanya yang kini dalam semester tiga untuk pengajian selama tiga tahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...