Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Sentuhan inovasi sajian Jepun

    KUALA LUMPUR – Terletak di tingkat atas di Old Klang Road, Kuala Lumpur, Mitsu by Two Chefs Lab adalah satu-satunya restoran yang menghidangkan kushiyaki – makanan panggang Jepun di atas lidi, menurut Cef Steve Chua.

    Pengunjung boleh mencuba Tsukune, ayam yang dikisar dengan yamaimo (keladi gunung Jepun); Gyu Enoki (hirisan daging lembu digulung dengan cendawan enoki); udang harimau; dan paha ayam diperap teriyaki dengan daun bawang kucai – semuanya mempunyai haruman bau asap yang enak dan dipanggang menggunakan arang.

    Ciptaan Cef Chua dan Edmund Chong itu jelas menyerlah dalam sajian pembuka selera, Tuna Avocado Tartare yang terdiri daripada tuna perap yang dipotong bentuk dadu dan avokado yang digaul dengan mayonis wasabi, dan Truffled Hamachi Carpaccio, hirisan tuna yellowtail yang dibubuh yuzu buatan sendiri, minyak trufel dan kuah shoyu. Rasanya lembut – sentuhan rasa masam, sedikit pedas disebabkan wasabi, dan rasa masin, dengan umami disediakan dengan minyak trufel – membezakannya daripada pembuka selera biasa.

    Bruschetta Salmon Pedas yang terdiri daripada salmon cincang pedas diletakkan di atas focaccia panggang merupakan satu lagi sajian yang sungguh menyelerakan.

    Satu lagi hidangan pembuka selera yang menarik perhatian, Foie Gras Chawan Mushi juga mendapat sambutan hasil gabungan menarik kastard telur lembut seperti sutera dan dihiasi dengan potongan hati angsa yang digoreng.

    Signature Maki dengan pelbagai hiasan. – ANN/The Star
    Engawa Don. – ANN/The Star
    Tokujou Susyi Moriawase. – ANN/The Star
    Signature Somen Sejuk. – ANN/The Star
    Tuna Avokado Tartare. – ANN/The Star
    Truffled Hamachi Carpaccio. – ANN/The Star
    Bruschetta Tuna Pedas. – ANN/The Star

    Kemahiran cef dalam menggabungkan sajian Timur dan Barat juga terserlah dalam Mitsu Signature Truffle Uni Cold Pasta, hidangan pasta bercampur minyak trufel di atasnya dengan uni berkrim lembut (landak laut), isi ketam dan sedikit kaviar. Sejuk dan kenyal, mi buatan tangan ini menyerap keistimewaan bahan-bahan, menghasilkan ledakan rasa unik.

    Penggemar susyi mungkin ingin mencuba Tokujou Sushi Moriawase: hidangan susyi premium yang terdiri daripada nasi diperap cuka yang dihiasi dengan hotate segar dan manis (kekapis), botan ebi (udang manis jumbo), toro (perut tuna berlemak), engawa (kaya dengan kolagen serta sirip dan perut ikan pipih yang rangup) dan shiro maguro (tuna putih). Ringkas namun sungguh segar setiap kali mencubanya.

    Udang manis yang berlimpah, isi ketam, salmon pedas, kerang, unagi (belut) dan ikura (telur salmon) yang digulung dan diletakkan di atas nasi susyi menjadikan Mitsu Signature Maki pilihan yang menarik, mentakrifkan kemahiran seni kedua-dua cef dengan pendekatan Jepun. Tekstur dan rasa yang berbeza bagi setiap ciptaan buatan tangan itu menjadikannya sajian yang perlu dicuba.

    Mitsu menghidangkan sehingga 12 variasi donburi yang berbeza kerana mangkuk nasi ini adalah makanan utama yang popular dalam kalangan pelanggannya.

    Pengunjung juga boleh mencuba Gyu Don, semangkuk nasi Jepun yang lazat dihiasi dengan daging lembu Australia yang lembut, telur kenkori onsen, shio konbu dan minyak trufel. Menurut cef Edmund Chong, telur kenkori dihasilkan di Malaysia menggunakan kaedah pertanian Jepun.

    “Kami juga menambah shio konbu, hirisan kecil rumpai laut kering yang telah direbus dalam kicap, mirin dan gula untuk memberikan nasi dengan rasa kompleks lautan,” katanya.

    Kelazatannya setanding dengan Engawa Don, nasi susyi melekit yang dihiasi dengan kepingan engawa hangus, tamago dan ikura. Pelanggan dapat menikmati kekayaan krim engawa dan tekstur yang sedikit rangup, dibandingkan dengan rasa manis dan masin telur dadar dan telur salmon.

    Apabila membabitkan ciptaan inovasi dalam bidang masakan Jepun, jelas tidak adanya had bagi kedua-dua cef ini – Chong dan Steve Chua – apabila bekerja di ‘makmal’ dapur mereka. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...