Saturday, January 11, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan udara junta Myanmar ragut 40 nyawa

    YANGON, 10 JAN – Serangan udara junta Myanmar telah mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang di sebuah kampung di negeri barat Rakhine, menurut seorang anggota menyelamat dan kumpulan bersenjata etnik minoriti kelmarin.

    Jurucakap Tentera Arakan (AA), Khaing Thu Kha memaklumkan AFP bahawa sebuah jet tentera mengebom Kyauk Ni Maw, di pulau Ramree, sekitar jam 1:20 tengah hari pada Rabu dan memusnahkan 500 buah rumah.

    “Berdasarkan laporan awal, 40 orang awam yang tidak bersalah terbunuh dan 20 lagi cedera,” katanya.

    Seorang anggota pasukan menyelamat tempatan yang membantu mangsa di kawasan tersebut menyatakan jumlah mangsa terkorban meningkat kepada 41 orang dan 52 cedera.

    “Ketika ini, kami tidak mempunyai betadine dan alkohol yang cukup untuk merawat mereka kerana masalah pengangkutan,” kata petugas itu yang enggan dikenali atas sebab-sebab keselamatan.

    Gambar-gambar selepas pengeboman itu menunjukkan penduduk yang masih kebingungan berjalan melalui runtuhan yang hangus, tanah yang berselerak dengan logam dan bangunan rentung.

    AFP cuba menghubungi junta untuk mengulas mengenai kejadian itu, tetapi panggilan tidak dijawab. – AFP

    Gambar menunjukkan orang ramai memadamkan api selepas serangan udara oleh tentera pemerintah di kampung Kyauk Ni Maw, di negeri Rakhine, Myanmar pada 8 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda