Sunday, May 5, 2024
29 C
Brunei

    -

    Serlahkan daya tarikan koleksi batu unik

    Oleh Amri HTZ

    Minat mengumpul pelbagai jenis batu sama ada berharga mahupun cukup langka merupakan hobi yang sangat mengujakan yang penuh dengan keseronokan dan cabaran serta peluang untuk mengetahui lebih banyak mengenai geologi sesebuah tempat.

    Batu-batu unik pada kebiasaannya boleh didapatkan di kawasan pantai, sungai mahupun kawasan pergunungan. Setiap satu mempunyai daya tarikannya tersendiri yang mungkin kurang menarik bagi sesetengah orang namun seperti permata untuk orang lain.

    Bagi mempamerkan koleksi batu yang dimiliki, selain mempunyai rak khusus, awda juga boleh mencipta stand bentuk angkup diperbuat daripada loyang dan blok kayu kecil.

    Persediaan awal perlu ada
    Mereka stand berbentuk angkup yang cukup mudah ini memerlukan awda menyediakan barangan seperti jalur loyang berukuran ¼” x 12”, enam batang rod berulir (threaded) berukuran 11 ½” dengan diameter ulir 6-32, 12 biji flanged knurled-head thumb nut dengan ulir berdiameter 6-32, fled pad (alas) berbentuk bulat sebagai pelindung permukaan daripada calar dan blok kayu. Untuk peralatan pula, awda memerlukan NC taper tap berukuran 6-32, mesin gerudi bersama mata berukuran 36, gergaji besi, alat pengepit, paip berdiameter 3 ½”, tukul dan pin punch serta kelengkapan perlindungan diri.

    Warna kekuningan loyang unik bagi rekaan
    Bagi langkah pertama pembuatan, jalur loyang berukuran ¼” x 12” akan dibahagikan kepada dua menjadikan setiap satu berukuran 6” panjang.

    Permukaan loyang yang hendak ditebuk perlu diberikan lekukan sebagai panduan untuk mata gerudi, direka menggunakan pin punch.
    Paip sebagai acuan, taper tap bersama pemegangnya dan mata gerudi antara alatan yang digunakan semasa proses pembuatan.
    Kedudukan rod berulir setelah dimasukkan ke dalam jalur loyang yang dibentuk separa bulatan.
    Jalur loyang, rod berulir dan flanged knurled-head thumb nut perlu ada untuk projek rekaan ini.

    Memandangkan dua buah rekaan akan dihasilkan dalam projek ini, hanya dua jalur loyang digunakan namun jika awda ingin mereka lebih daripada itu, potong lebih banyak jalur loyang dengan setiap satu berukuran 6” panjang. Gergaji dengan bila pemotong besi digunakan untuk memotongkannya dengan material perlu ditetapkan kedudukannya menggunakan bench vise.

    Permukaan kasar hasil potongan terlebih dahulu perlu dibersihkan atau dihaluskan menggunakan kertas pasir berukuran 120 grit. Ini bagi memastikan keselamatan diri ketika mengendalikannya semasa langkah seterusnya.

    Potongan jalur loyang tersebut kemudiannya akan dibengkokkan membentuk separa bulatan. Bagi memastikan bentuk separa bulatan dapat dihasilkan dengan sempurna, awda perlu menggunakan pembentuk daripada paip berdiameter 3 ½” disediakan. Dengan mengepit bahagian hujung jalur loyang pada bahagian luar paip tersebut menggunakan alat pengepit, awda hanya perlu memberi tekanan pada bahagian hujung jalur loyang sambil mengetuk permukaannya secara perlahan untuk membentuknya.

    Memandangkan jalur loyang tersebut agak lembut berbanding besi, awda perlu menukulnya perlahan agar tidak menjejaskan permukaannya.

    Terdapat satu lagi cara untuk membengkokkan jalur loyang yang boleh digunakan namun memerlukan lebih banyak langkah selepas membentuknya. Sama seperti langkah sebelumnya iaitu mengekalkan kedudukan jalur loyang pada permukaan luar paip berdiameter 3 ½” menggunakan alat pengepit, seterusnya bakar permukaan jalur loyang sehingga menjadi merah untuk membentuknya.

    Langkah membakar jalur loyang akan menjadikannya sangat lembut dan mudah untuk dibengkokkan. Namun keburukan daripada langkah tersebut ialah warna permukaan loyang tersebut akan berubah menjadi mengelap atau memerah.

    Ini memerlukan awda untuk mengilatkannya semula sama ada menggunakan kertas pasir dengan cara menggosokkan keseluruhan permukaan sehingga berkilat semula atau menggunakan pengilat khusus loyang. Setelah itu kedua-dua bahagian hujung jalur loyang tersebut akan ditebuk menggunakan mata gerudi berukuran ¼” bagi menempatkan rod berulir nanti.

    Dalam memastikan kedudukan lubang yang ditebuk tepat, gunakan pin punch dengan cara mengetuknya. Melakukan langkah menggerudi permukaan tanpa lekukan kecil pada permukaan loyang, akan menyebabkan mata gerudi bergerak daripada sasaran disebabkan terlalu licin.

    Jalur loyang yang dibentuk menjadi separa bulatan ketika ditempatkan pada kaki rekaan akan berada pada kedudukan 20 hingga 45 darjah (mengikut kedudukan yang disukai).

    Oleh itu ia memerlukan awda untuk menebuk satu lagi lubang bagi rod berulir sebagai pemegangnya.

    Lubang-lubang yang telah ditebuk sebelumnya akan direka dengan ulir yang memerlukan awda menggunakan alat khusus iaitu NC taper tap berukuran 6-32. Pastikan taper tap digunakan sesuai dengan ulir pada rod yang digunakan. Ketika mereka ulir pada lubang tersebut, tetapkan taper tap pada alat pemegang khususnya atau menggunakan mesin gerudi untuk mempercepatkan proses.

    Jika awda menggunakan alat pemegang taper tap khusus, pusing perlahan untuk memasukkannya sehinggalah menembusinya dan keluarkan semula alat taper tap secara perlahan dan lurus.

    Langkah ini bagi memastikan agar ulir yang direka dalam keadaan sempurna dan bersih. Menggunakan mesin gerudi merupakan langkah yang cepat bagi mereka yang sudah biasa melakukannya namun berisiko untuk mendapatkan ulir yang tidak sempurna yang cenderung berlaku ketika alat taper tap dikeluarkan dalam keadaan senget.

    Bagi bahagian kaki atau tapak rekaan, kayu disediakan akan dipotong dengan ukuran 3” x 1” x ¾” dan 2” x 1” x 1”. Perbezaan antara kedua-dua tapak adalah bagi memberikan kelainan kepada rekaan namun ia bukanlah satu kewajipan untuk mengikutinya.

    Setelah memotongkannya menggunakan mesin gergaji kayu meja, tebuk bahagian tengah blok kayu untuk ruangan rod berulir sebagai pemegang.

    Selain itu, permukaan kayu juga boleh disapukan dengan wood finish pilihan bagi melindunginya daripada kelembapan atau kekotoran.

    Dengan tapak rekaan selesai direka, kini tinggal memasangkan kesemua rod berulir pada tempatnya termasuk flanged knurled-head thumb nut.

    Mulakan langkah dengan menetapkan rod berulir pada tapak rekaan diikuti dengan nat tersedia dan jalur loyang.

    Pada kedua-dua lubang bahagian hujung jalur loyang juga akan dimasukkan dengan rod berulir dengan nat dipasangkan pada bahagian dalam dan luar.

    Batu-batu pilihan kini boleh ditempatkan pada bahagian dalam dengan menyesuaikan kedudukan rod kemudian ditetapkan dengan cara mengetatkan nat pada bahagian luar.

    Sebagai langkah tambahan, awda juga boleh menempatkan plat nama pada permukaan tapak bagi memudahkan para pemerhatinya mengenali identiti objek yang dipaparkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...