Hari jadi ke-49 bintang bergelar Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza disambut meriah oleh kelab peminat, Sitizoners di kawasan segi tiga emas, iaitu Bukit Bintang kelmarin.
Meraikannya dengan cara berbeza, peminat mengabadikan tarikh kelahiran Siti, 11 Januari, iaitu semalam, dengan tayangan video khas yang dipancarkan melalui skrin digital gergasi di tengah-tengah pusat beli-belah dan hiburan terkemuka itu.
Melalui rakaman video dikongsi, jelas terpancar wajah keriangan Siti bersama suami dan anak-anak yang menghadiri acara sambutan Hari Jadinya itu, lapor BH Online.
Peminat kemudian dilihat mengerumuni Siti bagi merakam momen indah bersama. Siti turut bersama peminat daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa, menyanyikan lagu malar segarnya, seperti Aku Cinta Padamu.
Sementara itu, Siti melalui perkongsian video di TikTok menzahirkan ucapan penghargaan buat Sitizoners yang menganjurkan acara itu.
“Tanggal 11 Januari 2025, hadiah istimewa Sitizoners pada hari lahir saya. Terima kasih sekali lagi untuk enam versi video berbeza yang ditayangkan berulang kali dari 9:30 malam sehingga 11:30 malam. Saya sayangkan anda semua!” katanya. – Agensi