Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    SpaceX bakal bawa pulang angkasawan terkandas

    WASHINGTON, 29 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kelmarin mengumumkan bahawa syarikat milik Elon Musk, SpaceX, akan segera memulakan misi membawa pulang dua angkasawan Amerika yang telah terkandas selama beberapa
    bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

    Angkasawan veteran, Butch Wilmore dan Suni Williams, tiba di ISS pada Jun lalu menaiki pesawat angkasa Starliner milik Boeing dan dijadualkan berada di makmal orbit itu hanya selama lapan hari. Bagaimanapun, masalah teknikal pada pesawat tersebut menyebabkan NASA mengubah rancangan asal.

    Agensi Angkasa Lepas AS itu mengumumkan pada Ogos bahawa SpaceX, pesaing Boeing, akan membawa pulang kru tersebut pada Februari. Namun, pemulangan mereka sekali lagi ditangguhkan ke penghujung Mac berikutan SpaceX sedang menyediakan kapal angkasa baharu.

    “Elon akan berlepas tidak lama lagi. Semoga semuanya selamat. Semoga berjaya, Elon!!!” tulis Trump di platform Truth Social miliknya, tanpa menyatakan tarikh tepat bagi misi tersebut.

    Sementara itu, Musk, yang banyak menyumbang dana untuk kempen pilihan raya Trump, sebelum ini menulis di X bahawa presiden telah memintanya membawa pulang kedua-dua angkasawan itu ‘secepat mungkin.’

    SpaceX, syarikat persendirian yang diasaskan oleh Musk, telah menjalankan misi berkala setiap enam bulan bagi memastikan pertukaran kru ISS berjalan lancar.

    Pada Januari, Wilmore dan Williams menyatakan bahawa mereka masih dalam keadaan baik walaupun terkandas di orbit, sambil menambah bahawa mereka mempunyai bekalan makanan mencukupi dan menikmati masa mereka di ISS. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda