Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Sebagai usaha berterusan untuk mendedahkan para pelajarnya kepada peluang-peluang pengajian tinggi yang terdapat di dalam dan luar negara, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) mengadakan acara tahunan Studyrama yang berlangsung di auditorium maktab berkenaan, kelmarin.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian acara berkenaan ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metussin bin Haji Jais.
Acara tahunan anjuran Unit Pendidikan Tinggi, Maktab Duli menyaksikan penyertaan yang amat menggalakkan daripada 26 peserta kerajaan dan swasta termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Jabatan Kehakiman Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan institusi-institusi pengajian tinggi lain di dalam negara.
Studyrama itu bermatlamat memberikan pendedahan pada para pelajar tentang peluang-peluang pengajian tinggi yang terdapat di dalam dan luar negara, memberikan kesedaran mengenai laluan kerjaya dari segi mata pelajaran dan bidang minat pelajar dengan tumpunan kepada kejuruteraan, perniagaan, kewangan teologi, industri minyak dan industri kesihatan serta memberikan motivasi kepada pelajar dalam pelajaran mereka menerusi perancangan efektif supaya mereka diberikan bimbingan dalam pemilihan kursus-kursus di pengajian tinggi.
Menerusi Studyrama berkenaan, para pelajar akan mendapat gambaran yang lebih baik tentang pelbagai peluang yang terdapat khususnya kursus-kursus dan biasiswa yang ditawarkan daripada sektor kerajaan dan bukan kerajaan di samping membolehkan mereka membuat keputusan termaklum mengenai hala tuju kerjaya serta institusi pengajian berpotensi di dalam dan luar negara.
Acara itu merangkumi sesi ceramah, pembentangan, bengkel dan sesi motivasi yang disampaikan oleh Unit Pendidikan Tinggi maktab berkenaan serta pelbagai agensi yang menyertai acara berkenaan.