Friday, May 3, 2024
24 C
Brunei

    -

    Suara aneh dalam tandas

    Oleh Junaimah –

    Kira-kira tiga tahun lepas, aku telah menjalani satu pembedahan di bawah kelopak mata kerana ada satu ketumbuhan yang ditakuti menjadi kanser dan aku ditahan selama sembilan hari. Aku selesai menjalani pembedahan pada sebelah malam dan aku dijaga oleh ibuku. Sehingga tengah malam aku masih belum sedar dan jahitan pembedahan tersebut banyak mengeluarkan darah menyebabkan ibu tidak sampai hati meninggalkan aku seorang diri.

    Pada tengah malam, antara sedar dan tidak, mungkin kerana ubat bius masih berfungsi, aku mendengar suara orang ramai bercakap-cakap dan ketawa tetapi aku langsung tidak memahami butir percakapan mereka. Mereka seperti sedang berada di sisiku dan nada suara mereka terlalu aneh pada pendengaranku.

    Memang aku akui aku seorang yang lemah semangat dan penakut. Mataku terasa berat dan sukar untuk dibuka namun kucuba juga sedaya upaya kerana hatiku seakan-akan mengatakan apa yang kudengar itu bukanlah suara manusia biasa dan adalah sesuatu yang mustahil jika orang ramai masih dibenarkan masuk ke dalam wad pada tengah malam serta membuat bising seperti itu.

    Aku membaca segala surah yang terlintas dalam fikiranku namun suara tersebut semakin nyaring dan hingar-bingar. Akhirnya aku berjaya juga membuka mataku walaupun masih terasa berat. Sebaik sahaja terbuka, suara tersebut seakan-akan ghaib begitu sahaja. 

    Lantas aku menoleh ke kiri dan kanan, aku tidak nampak sesiapa pun yang berada di sisiku kecuali ibuku yang sedang tidur di kerusi. Badanku menjadi seram sejuk. Aku menjadi serba salah, hendak membangunkan ibu atau tidak kerana aku kasihan melihat ibu sedang tidur dengan lena itu.

    Gambar Freepik

    Secara kebetulan pula katilku berhadapan dengan pintu kedua wad tersebut tetapi aku tidak nampak sesiapapun di sana. Aku menenangkan hatiku dengan alasan yang munasabah.

    Kulihat bantalku berlumuran dengan darah. Hatiku berbisik, mungkin disebabkan bau darah yang kurang enak itu menyebabkan adanya suara-suara tersebut. Aku hanya mampu bertawakal kepada Allah agar diriku selamat dari gangguan syaitan.

    Pada keesokan harinya, aku menceritakan kepada kedua orang tuaku tentang peristiwa semalam. Mereka hanya menyuruhku membaca apa yang patut sebelum tidur serta ayah membekalkanku dengan sebuah buku Yassin untuk menjadi pelindungku.

    Malam ketiga aku berada di wad tersebut, sekali lagi aku terdengar suara tersebut dan juga seperti bunyi rantai ditarik dari hujung wad hingga ke pintu. Aku sememangnya penakut, hanya berani untuk menutup mataku dengan selimut.

    Bunyi suara dan tarikan rantai tersebut semakin nyaring dan aku memberanikan diri untuk melihatnya melalui bawah tabir di sisiku dengan harapan apa yang ku dengar tadi adalah suara para jururawat tetapi sebaik sahaja aku menyingkap tabir tersebut aku tidak nampak apa-apa pun. Aku menggigil ketakutan.

    Tiba-tiba suara tersebut seperti berada di muka pintu di hadapanku dan tidak lama kemudian hilang serta merta. Aku yang masih ketakutan hanya dapat melelapkan mata pada sebelah subuh.

    Apabila aku menceritakan pada rakan satu wad denganku, mereka tidak percaya dan mengatakan aku terlalu penakut. Mungkin juga ada benarnya tetapi naluriku seakan menafikan alasan tersebut. Malam-malam berikutnya aku merasa tenang tanpa ada gangguan lagi sehinggalah pada malam terakhir aku berada di wad tersebut. Kira-kira pukul 10 malam, aku merasa hendak buang air kecil. Aku pergi ke tandas seorang diri.

    Sebaik sahaja aku melangkah masuk tandas tersebut, aku terdengar bunyi seperti orang yang sedang mengepam air selepas selesai buang air. Aku menjadi berani apabila mengetahui ada orang dalam tandas tersebut, aku melihat semua pintu tersebut terbuka tetapi aku tetap mendengar suara orang mengepam air dan seperti sedang bermain air.

    Ku periksa setiap pintu tetapi tidak ada walau seorang pun di situ. Aku membuka langkah seribu dan lari lintang pukang menuju kaunter. Jururawat yang bekerja malam tersebut bertanya apa yang sedang aku lakukan lalu aku menceritakan semuanya.

    Mereka hanya menyuruh aku pergi ke katil dan tidur dan menganggap aku hanya bermimpi. Dalam hati sebenarnya aku marah dan kecewa di atas sikap jururawat tersebut.

    Esoknya aku dibenarkan keluar. Aku tertawa keriangan. Ini bermakna aku tidak akan mengalami hal di luar dugaanku lagi. Sebelum itu salah seorang penghuni wad tersebut sempat berbual-bual denganku sementara menunggu ibu menjemputku.

    Dia menceritakan yang mana pada tengah malam semalam dia mendengar bunyi suara orang meminta tolong di dalam tandas. Kebetulan pula katilnya berdekatan dengan tandas tersebut lalu dia pun masuk dengan tujuan untuk menolong.

    Tetapi sebaik sahaja dia mencari dari mana arahnya suara itu dia ternampak satu lembaga berkain putih sedang bercangkung pada satu lubang tandas tersebut sambil ketawa mengilai. Bulu tengkuknya berdiri.Disebabkan dia berani dia hanya meninggalkan tandas tersebut tanpa menjerit atau berlari.

    Ceritanya mengingatkan aku pada peristiwa yang sering aku alami bermula dari aku ditahan dalam wad tersebut.

    Dia mendengar dengan teliti. Lalu menceritakan apa yang dia selalu dengar dari orang yang pernah menghuni wad tersebut yang mana pada masa dulu ada seorang perempuan telah meninggal dunia dalam tandas tersebut kerana jatuh dan jahitan diperutnya terkoyak, Wallahualam.

    Namun aku bersyukur kerana tidak pernah nampak wajah hantu tersebut seperti yang sering dialami penghuni di sana. Aku berusaha agar tidak akan ditahan lagi. Aku takut peristiwa tersebut berulang lagi dan disebabkan kisah tersebut, selama sebulan aku tidak dapat tidur dengan lena kerana peristiwa itu terus bermain-main dalam ingatanku.

    Sekarang barulah aku mengetahui yang suara orang ramai serta bunyi rantai seperti ditarik itu adalah suara jin berantai. Seandainya aku dapat melihat rupa mereka mungkin aku akan terkejut dan ketakutan kerana muka mereka sentiasa berubah-ubah.

    Tapi syukurlah aku tidak nampak kalau tidak aku pun tidak tahu apa yang akan terjadi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...