KUALA LUMPUR – Lazimnya dahulukala seni sulaman sering dilihat pada selimut, topi dan baju dengan dihiasi pelbagai corak bagi mencantikkan lagi sesuatu jenis fabrik.
Namun seiring dengan peredaran masa, Siti Nur Amalina Mohamad Sukri memberikan sentuhan inovasi yang unik kepada seni tersebut apabila menghasilkan sulaman berbentuk potret berasaskan gambar sebenar.
Siti Nur Amalina, 29, berkata beliau memilih sulaman potret kerana ia dapat merakamkan peristiwa penting yang berlaku dalam hidup dan juga menggambarkan ekspresi wajah seseorang sekali gus boleh diabadikan dalam bentuk hasil sulaman tangan yang menarik sebagai kenangan indah.
Sejak mula berkecimpung dengan seni sulaman bermula September 2020, bekas graduan Sarjana Bidang Nanoteknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata beliau telah berjaya menghasilkan lebih 150 sulaman dengan separuh daripadanya adalah potret.
“Pada asalnya saya langsung tak pandai menjahit, tapi apabila bosan berada di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana negara dilanda pandemik COVID-19 ketika itu, saya cuba cari perkara baharu iaitu belajar menjahit.
“Tiba-tiba saya terjumpa di Internet mengenai kit sulaman yang membolehkan kita belajar teknik asas sulaman. Sejak dari itu, saya mula belajar melalui tutorial sulaman di YouTube dan lama-kelamaan hasil sulaman saya berjaya serta turut meraih perhatian warganet apabila saya berkongsinya di laman sosial,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Siti Nur Amalina berkata beliau menghasilkan tiga jenis seni sulaman potret iaitu fully stitched hoop iaitu potret dan latar belakang disulam penuh, kedua potret sulaman berwarna iaitu hanya bahagian potret disulam benang berwarna dan ketiga ialah outlined portrait iaitu hanya garisan luar potret disulam.
“Dari segi kesukaran, fully stitched hoop paling susah dan lama hendak disiapkan, sebab banyak yang perlu diperincikan termasuk lakaran yang sekecil-kecilnya dan satu ram sulaman itu perlu dijahit,” katanya dan menambah seseorang itu memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menghasilkan sulaman potret yang berkualiti.
Siti Nur Amalina berkata untuk menghasilkan sulaman potret, beliau akan mendapatkan gambar sebenar daripada pelanggannya dan kemudian akan menghasilkan ilustrasi melalui aplikasi drawing di telefon berdasarkan gambar tersebut.
Katanya, selepas itu ilustrasi tersebut akan dicetak di atas sticker paper menggunakan mesin cetak biasa sebelum dilekatkan di atas fabrik yang membolehkan sesuatu teknik sulaman boleh dilakukan dan ia dijual dengan harga bermula RM100.
“Semua sulaman potret akan dijahit pada ram sulaman yang saiznya bermula daripada 7 sentimeter (cm) hingga 34cm. Lagi sukar reka bentuk dan besar saiz, lagi banyak masa yang diambil untuk disiapkan,” katanya yang telah menguasai 15 jenis jahitan untuk menghasilkan sulaman potret.
Pada masa akan datang, Siti Nur Amalina yang berasal dari Lembah Keramat di sini berhasrat mengadakan kelas sulaman kerana menerima banyak permintaan daripada orang ramai yang ingin mempelajarinya. – Bernama