Friday, January 31, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suruhanjaya Eropah janjikan bantuan berbilion euro kepada Jordan

    BRUSSELS, 30 JAN – Suruhanjaya Eropah kelmarin mengumumkan sokongan terhadap kestabilan politik dan ekonomi Jordan dengan bantuan berjumlah AS$3.1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    “Jordan telah menunjukkan kemurahan hati luar biasa dengan menampung jutaan pelarian dan komited sepenuhnya terhadap usaha mempromosikan keamanan serta keselamatan di rantau ini dan di peringkat global,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam pertemuan bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II di Brussels.

    “Jordan memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan gencatan senjata di Gaza,” kata von der Leyen, sambil menekankan peranan negara itu dalam menyokong peralihan di Syria selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad.

    Bantuan berbilion euro daripada Kesatuan Eropah (EU) itu adalah sebahagian daripada perjanjian mengenai perkongsian strategik komprehensif baharu antara EU dan Jordan.

    Perjanjian itu merangkumi kerjasama yang dipertingkatkan dalam memerangi keganasan, penyeludupan dadah dan jenayah terancang, serta isu migrasi.

    Jordan merupakan antara negara yang memiliki jumlah pelarian tertinggi mengikut nisbah penduduk, dengan ramai rakyat Palestin dan Syria berlindung di negara itu. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda