Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tabuan Muda tiba di tanah air

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Bawah 19 tahun (B19) selamat pulang selepas mengikuti Kejohanan Remaja B19 ASEAN 2024 yang berlangsung di Surabaya, Indonesia.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengalu-alukan ketibaan pasukan negara ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Haji Mahrub bin Haji Murni.

    Semasa mengalu-alukan ketibaan pasukan negara berkenaan, beliau melahirkan harapan supaya pemain-pemain terus giat berlatih untuk meningkatkan pencapaian yang lebih baik pada masa akan datang.

    “Sekalipun pasukan kita kalah kesemua perlawanan, namun kita menyaksikan peningkatkan prestasi pemain-pemain dari satu ke satu perlawanan. Kita yakin dengan kegigihan dalam meneruskan latihan-latihan akan membantu memantapkan lagi pasukan kita di masa akan datang,” jelasnya.

    Tambahnya, semua pemain telah memberikan permainan yang terbaik dan pengalaman dari kekalahan ini setentunya akan diambil iktibar untuk bangkit sekali gus dijadikan sebagai penyuntik semangat bagi mengukir kejayaan satu masa nanti.

    Dalam kejohanan berkenaan, pasukan negara diletakkan dalam kumpulan C bersama-sama dengan pasukan Malaysia, Thailand dan Singapura.

    Persaingan pasukan negara tersekat diperingkat kumpulan selepas dikejutkan oleh pasukan Malaysia dengan jaringan 0-11 sebelum tewas kepada pasukan Thailand 0-6 dan seterusnya dikecewakan oleh pasukan Singapura 0-2.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bergambar ramai semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR SERAHAN FABD
    GAMBAR SERAHAN FABD
    GAMBAR SERAHAN FABD

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda