Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taliban laksana hukuman mati 2 pembunuh

    AFGHANISTAN, 23 FEB – Pihak berkuasa Taliban melaksanakan hukuman mati secara terbuka terhadap dua lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh di stadium bola sepak di timur Afghanistan kelmarin, menurut seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

    Kedua-dua lelaki itu dihukum mati dengan beberapa das tembakan dari arah belakang di bandar Ghazni selepas pegawai Mahkamah Agung, Atiqullah Darwish, membacakan waran kematian yang ditandatangani oleh Pemimpin Tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada.

    “Kedua-dua orang ini disabitkan dengan jenayah pembunuhan,” kata Darwish. “Selepas dua tahun perbicaraan di mahkamah negara, perintah itu telah ditandatangani.”

    Ribuan orang berkumpul di stadium untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman mati itu.

    Keluarga kedua-dua tertuduh hadir, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan ditanya sama ada mereka mahu memohon penangguhan hukuman pada saat-saat akhir, tetapi mereka menolak dalam kedua-dua kes.

    Saudara-mara juga ditawarkan untuk melaksanakan hukuman itu sendiri, selaras dengan pelaksanaan undang-undang Islam kerajaan Taliban, tetapi anggota pasukan keselamatan membunuh kedua-dua lelaki itu selepas mereka enggan melakukannya.

    Mereka yang dihukum mati dikenal pasti sebagai Said Jamal dan Gul Khan, kedua-duanya bersalah atas pembunuhan bersenjatakan pisau pada September 2017 dan Januari 2022, menurut kenyataan Mahkamah Agung. – AFP

    Gambar bertarikh 22 Februari, menunjukkan lelaki Afghanistan meninggalkan stadium bola sepak selepas menghadiri pelaksanaan hukuman mati secara terbuka oleh pihak berkuasa Taliban terhadap dua orang lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh, di Ghazni. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda