(Siri 4)
Oleh Dino MN –
“Yang itu bu hajah..,” sambil tangannya menunjukkan ke arah kereta Pajero berwarna kelabu kebiruan yang nampak berkilau disinari cahaya matahari. Yang??? tanyanya dalam hati.
Hatinya masih tertanya-tanya akan kereta suaminya yang mana satu. Plat lesennya pun dia tidak nampak. Dia menghampiri lebih dekat lagi pada kereta yang ditunjuk oleh Norhana.
Pandangan matanya melekat pada bahagian dalaman kereta tersebut. Serba baharu…kereta siapa ini tanyanya di dalam hati. Kalau warna memang sama dengan warna kereta suaminya. Tapi yang ini catnya sungguh baharu dan berkilat.
Dia meminta pekerjanya mengambil nombor plat lesen kereta Pajero itu di dalam bilik stor.
Hajah Maidah masih tercengang-cengang melihat dalaman kereta Pajero tersebut. Seketika itu juga pintu kereta tersebut dibuka oleh pekerjanya.
“Sesuai dengan janji Ana…kusyennya Ana ganti dengan leather warna kelabu agar tahan dan tidak koyak walaupun sudah lama,” kata Nohana kepada pak haji. Pak haji senyum saja hatinya terasa puas. Isterinya bu Hajah Maidah mendengar saja penerangan demi penerangan daripada Norhana kepadanya.
“Bu hajah sukakan dalaman kereta pak haji ini?” tanya Norhana kepada bu Hajah Maidah. Dia angguk kepala tak terkata lagi perubahan yang dilihatnya.
“Terima kasih Ana,” kata pak haji pendek. Dia juga terasa puas hati apa yang telah dilakukan oleh Norhana.
Dia beralih ke bahagian depan kereta tersebut dan dia makin kaget bila nombor kereta itu adalah nombor kereta suaminya. “Sahih, ini benar nombor kereta suamiku…B 2311,” katanya sendirian.
“Masuk ke rumah dulu pak haji, bu hajah,” pelawa Norhana kepada mereka berdua.
Mereka semua masuk ke ruang tamu rumah Norhana.
Rumah yang besar itu pun adalah rumah peninggalan bapanya, kerana dia adalah anak tunggal dan semua harta tertumpah terus kepadanya. Di ruang tamu yang luas yang di dalamnya ada tanaman hias dan bunga-bunga plastik bercampur menambahkan keindahan di bilik tamu tersebut.
“Besarnya rumah Ana ni,” kata bu Hajah Maidah sambil melabuhkan punggungnya ke sofa.
Sebelum Maghrib pak haji dan bu Hajah Maidah sudah balik ke rumah mereka. Pertemuan yang singkat kerana untuk mengambil kereta pak haji yang telah siap diperbaiki cukup berkesan di hati bu Hajah Maidah dan suaminya.
“Lawa juga dalam kereta kita ini setelah diubahsuai ya bang,” kata isteri pak haji memuji. Pak haji hanya menyahut pendek sambil mengangguk kepalanya.
“Ya…aku sudah lama bercita-cita untuk mengubahsuai…tapi masalah duit yang tidak mengizinkan dan keperluan hidup kita…”
“Syukurlah kita tidak sengaja bertemu Ana yang baik hati ya bang.”
Semasa pak haji dan isterinya memasuki kawasan rumah, tiga buah kereta sudah ada parking di garaj sebelah kiri depan rumahnya. Semua yang ada di rumahnya terkejut kereta Pajero yang berwarna kelabu kebiruan yang berkilat yang memakai nombor plat lesen bapa mereka itu seolah-olah tidak percaya bahawa itu adalah kereta bapa mereka.
Seorang anak lelakinya terus mendapatkan bapa mereka dalam keadaan cemas padahal kejadian itu sudah berlalu seminggu yang lalu.
“Dari mana saja bapa sama mama…?” tanya Hamidon segera kepada bapa dan mamanya pak haji dan bu Hajah Maidah.
“Ini…mengambil kereta bapa yang sudah siap diperbaiki.”
“Mengapa bapa tidak memberitahu kami kecelakaan itu? Kami jadi cemas dan terus ke mari melihat bapa sama mama.”
“Dari mana saja kamu tahu berita kecil ini?” tanya pak haji kepada anaknya.
“Pa…sekecil mana pun kejadian kemalangan itu….bapa mesti beritahu kami anak-anak bapa ini. Nasiblah bapa tidak kenapa-napa…” kata Hamidon sedikit perasaan kesalnya.
Mereka masuk ke rumah dan cucu-cucunya yang sudah besar-besar menyambut nenek mereka. Perasaan pak haji cukup riang bila semua cucu-cucunya menyambut dan memimpin tangannya membawanya masuk ke rumah.
“Sekarang mau masuk waktu Maghrib…kita solat dulu berjemaah ya Midon?” kata pak haji bertanya kepada anaknya. Dua orang anaknya yang lain langsung bersetuju saranan bapa mereka.
Sementara menantunya yang lain sudah siap bersama mama mereka bu Hajah Maidah menyediakan untuk makan malam bersama. Hamidon dan dua orang adiknya, mereka semua juga sepakat untuk bermalam di rumah bapa mereka.
Malam itu selesai makan malam ketiga-tiga anak pak haji, Hamidon, Jalia dan Said berbual-bual panjang bersama bapa mereka.
Bapa mereka pak haji menceritakan awal mula kejadian kemalangan kecil itu dari awal hingga akhirnya membawa kepada tanggungjawab Norhana membaiki keretanya yang nampak seperti kereta baru dibeli.
Sedikit kisah hidup Norhana yang pernah diceritakannya kepada pak haji pun diceritakan juga kepada anak-anaknya terutama Hamidon yang lebih banyak bertanya kepada bapanya.
“Kaya berharta juga Norhana tu ya ma,” kata Jalia pada mamanya bu Hajah Maidah.
“Yalah…anak tunggal lagi tu tiada bersaudara,” sampuk Said anak bungsu pak haji.
“Sampaikan salam dariku kepada Norhana ya pa,” kata Hamidon pada bapanya pak haji.
“Ingat macam tiada binilah tu,” perli isteri Hamidon sambil menjeling ke arah suaminya Hamidon.
“Bukan apa-apa sayang…cuma tanda terima kasih kita kepadanya kerana berkorban untuk bapa kita,” kata Hamidon menjelaskan kepada isterinya, kerana dia tahu perangai isterinya yang cepat cemburu.