Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Balai Polis Kampong Ayer kelmarin telah dijemput untuk memberi Taklimat Kesedaran Jenayah yang diadakan di Sekolah Ugama Putat, Mukim Lumapas, di sini.
Hadir bagi menyampaikan taklimat ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Insp Muhd Marzuqi Koo bin Abdullah bersama anggota Balai Polis Kampong Ayer.
Turut hadir mendengarkan taklimat ialah Guru Besar Sekolah Ugama Putat, Dayang Norwatini binti Haji Bungsu.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, taklimat diadakan sebagai salah satu aktiviti Pengawasan Kejiranan (PK) di kampung tersebut dan juga memberikan kesedaran mengenai jenayah yang melibatkan para remaja.
Sementara itu, pada sebelah malam, Balai Polis Kampong Ayer dengan kerjasama PK Kampung Sungai Bunga terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah yang dijalankan di kawasan perairan Kampung Sungai Bunga.
Rondaan tersebut diketuai oleh Insp Muhd Marzuqi Koo bersama tujuh orang anggota polis dan ahli PK kampung tersebut.
Rondaan pencegahan jenayah berkenaan diharap akan dapat mengurangkan aktiviti jenayah di kawasan kampung tersebut dengan penglibatan pihak polis bersama masyarakat.