NAIROBI – Tepat tengah hari, Richard Muthie berdiri di pintu masuk kilang kopi Mutira Farmers’ Cooperative Society, bersedia menghantar hasil tuaian. Petani berusia 50 tahun itu membawa 30 kilogram biji kopi merah segar yang dipetik pada awal pagi.
Sejak awal tahun ini, Muthie telah menghantar 400 kilogram biji kopi untuk diproses di kilang koperasi tersebut, yang terletak kira-kira empat kilometer dari ladang seluas setengah ekar miliknya di daerah Kirinyaga, Kenya. Tanah itu, yang diwarisi daripada bapanya, merupakan sumber utama pendapatan keluarganya.
“Kopi memberikan saya pendapatan untuk memenuhi keperluan keluarga,” katanya.
Muthie adalah antara 8,000 petani kecil yang secara kolektif memiliki koperasi itu. Mereka memainkan peranan penting dalam operasi koperasi, yang sangat berkait rapat dengan industri pertanian di rantau tersebut.
KEPENTINGAN KOPI DALAM KOMUNITI
Setiausaha koperasi, Martin Kinyua, berkata musim menuai kopi bermula pada Oktober dan biasanya berakhir menjelang penghujung tahun. Petani kemudian menunggu musim hujan yang dijangka pada Mac 2025 untuk tuaian berikutnya kerana tanaman mereka sangat bergantung pada hujan.
Pada 2023, koperasi itu memproses sekitar 4.88 juta kilogram biji kopi daripada ahlinya. Sebahagian besar pengeluaran koperasi diproses separa dan dijual secara pukal di Nairobi Coffee Exchange. Namun, hanya satu peratus kopi diproses sepenuhnya dan dijual sebagai produk akhir kepada pengguna tempatan.
Untuk meningkatkan keuntungan petani, koperasi telah menetapkan matlamat untuk memproses sekurang-kurangnya lima peratus kopi sepenuhnya dan menembusi pasaran luar negara, termasuk China.
Kinyua berkata pendapatan yang lebih tinggi telah mendorong petani memperluas kawasan tanaman kopi, yang dijangka meningkatkan kapasiti pemprosesan kilang pada tahun ini.
POTENSI BESAR PERTANIAN KOPI
Victor Munene, seorang agronomis di koperasi itu, menekankan potensi besar pertanian kopi di rantau tersebut.
“Sebidang tanah setengah ekar mampu menghasilkan pendapatan tahunan kira-kira AS$742,” katanya.
Beliau berkata Kenya berpotensi menghasilkan kopi istimewa yang mendapat harga premium di peringkat global, berikutan tanahnya yang berasid sesuai untuk tanaman itu.
Menurut Biro Statistik Kebangsaan Kenya, pada 2023, pengeluaran kopi negara itu mencapai 48,648 tan, dengan nilai eksport sekitar AS$251.86 juta. Kopi kekal sebagai salah satu penyumbang utama pendapatan pertukaran asing Kenya, selain teh dan hortikultur.
KOPI SEBAGAI PENYELAMAT KEHIDUPAN
Bagi petani seperti Kellen Wambui, kopi bukan sekadar tanaman, tetapi satu talian hayat.
Ibu kepada tiga anak berusia 50 tahun itu telah menanam kopi selama lima tahun.
“Tahun ini, saya menghantar 500 kilogram biji kopi ke kilang,” katanya.
Pendapatan kopi membolehkannya melunaskan yuran sekolah anak-anak serta memenuhi keperluan rumah tangga lain.
Bagi petani muda seperti Naftali Kinyua Wachira, kopi adalah peluang untuk kestabilan dan pertumbuhan.
Wachira, 27 tahun, mula menceburi pertanian kopi pada 2017 selepas menghadiri mesyuarat koperasi Mutira.
Pada tanah seluas 0.75 ekar daripada 1.5 ekar yang diwarisi daripada ibu bapanya, Wachira menanam kopi.
“Hasil daripada kopi memberikan pendapatan stabil yang membantu saya membiayai pendidikan,” katanya.
Ketika Koperasi Peladang Mutira melihat ke masa depan, ahlinya menganggap kopi bukan sekadar tanaman, tetapi sebagai jalan menuju kebebasan kewangan dan pembangunan komuniti.
Dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kemampuan pemprosesan dan mengakses pasaran antarabangsa, koperasi itu berhasrat memastikan petani seperti Muthie, Wambui dan Wachira memperoleh manfaat maksimum daripada salah satu kopi terbaik dunia. – Xinhua