Pelakon Trisha Ooi berdepan detik cemas apabila terperangkap di kawasan tanah runtuh ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran di Janda Baik, Pahang.
Menurut Trisha atau Reqshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 26, dia bersama kru produksi terperangkap apabila tanah runtuh berlaku di laluan keluar dari Genting Highlands menuju ke Janda Baik.
Jelas Trisha, mereka berada di Genting Highlands bagi menjalani penggambaran kelmarin namun mengambil keputusan menginap di sana sebelum bergerak ke Janda Baik pada pagi tadi.
Bagaimanapun mereka terkejut apabila dimaklumkan berlaku tanah runtuh yang menyebabkan mereka semua terperangkap dan tidak boleh keluar dari Genting Highlands sehingga kerja-kerja pembersihan selesai.
“Sejak dua tiga hari lalu kami menjalani penggambaran di Genting dan Janda Baik. Berulang-alik.
“Malam tadi, selepas selesai penggambaran di Genting, kita tidur di sana.
“Pagi ini kami mahu ke Janda Baik tetapi berlaku tanah runtuh. Dari atas sana sampai ke bawah ini,” katanya.
Trisha berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran InstaStory miliknya hari ini.
Dalam hantaran yang sama, Trisha menunjukkan betapa seriusnya keadaan jalan dipenuhi tanah yang menghalang laluan utama.
Sementara itu, pelakon itu memohon agar pengikutnya mendoakan keselamatan mereka dalam situasi yang mencemaskan itu.
“Jadi, kami tidak boleh keluar dari sini. Tolong doakan kami,” ujarnya. – Agensi