Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump pada awal pemerintahan jadi presiden AS

    KEBIASAANNYA para pemerhati akan menilai sesebuah kerajaan baharu dalam sesuatu sistem demokrasi dengan mengambil tempoh 100 hari sebagai ukurannya. Namun berbeza dengan pentadbiran Presiden Donald Trump, para pemerhati tidak perlu menunggu 100 hari. Dalam seminggu Trump telah mengeluarkan arahan-arahan eksekutif bagi memenuhi janji kontroversi yang diucapkan semasa kempen pilihan raya dulu.

    Beliau dikatakan tidak menunggu untuk berbincang atau mendengar nasihat serta taklimat daripada para pegawainya. Sebaliknya pada hari selepas angkat sumpah, tanpa menunggu hari Isnin beliau terus menandatangani perintah-perintah presidennya.

    Media menggunakan istilah executive order (EO) atau arahan eksekutif, mungkin lebih tepat lagi boleh disebut sebagai perintah kerja. Kalau daripada seorang raja, ia disebut sebagai titah perintah. Oleh sebab ia datang daripada presiden yang merupakan seorang ketua eksekutif sebuah republik demokratik, maka ia disebut sebagai arahan eksekutif.

    Presiden Barack Obama pun masa baru menyandang jawatan itu, lapan tahun lalu mengeluarkan banyak juga arahan eksekutif hingga anggota Dewan Perwakilan dari parti lawannya, Republikan mengkritik Obama dengan menyebut beliau mengeluarkan titah seperti maharaja sebuah empayar. Tetapi kali ini para perwakilan Parti Republikan, walaupun terkejut dengan arahan-arahan eksekutif Trump itu tetapi mereka memuji beliau, yang disifatkan sebagai berfokus dalam menjalankan tugasnya.

    Namun, berbanding dengan Obama, Trump lebih kelihatan sebagai seorang raja yang mengeluarkan titah perintah tanpa pedulikan pandangan dunia. Tindakan ini dilihat membelakangkan fakta dan dibuat atas pertimbangan peribadi yang terkeliru.

    Trump juga mengeluarkan arahan eksekutif supaya dibina tembok sepanjang sempadan Amerika dengan Mexico yang mana telah mencetuskan protes dan kontroversi hebat daripada penduduk Mexico di AS. - AFP
    Trump juga mengeluarkan arahan eksekutif supaya dibina tembok sepanjang sempadan Amerika dengan Mexico yang mana telah mencetuskan protes dan kontroversi hebat daripada penduduk Mexico di AS. – AFP

    Apa yang menggemparkan terhadap arahan eksekutif Trump berbanding dengan presiden-presiden Amerika terdahulu ialah sifatnya yang kontroversi kerana seolah-olah negara itu berundur ke belakang dari segi kemajuan kemanusiaan.

    Amerika di bawah Trump bukannya setakat konservatif tetapi regresif, iaitu bertentangan dengan progresif. Walaupun langkah-langkah ini sudah dinyatakan oleh Trump semasa kempen pilihan raya tetapi sebelum ini banyak pihak memikirkan ia hanya kata-kata calon presiden untuk meraih undi. Namun ternyata Trump bukanlah seorang ahli politik biasa. Beliau bergerak seperti seorang ahli perniagaan yang tidak menangguhkan apa yang beliau percaya sebagai penyelesaiannya.

    Sehingga Jumaat yang lalu, hari di mana Trump berjumpa Perdana Menteri Britain, Theresa May, beliau telah mengeluarkan beberapa perintah presiden, sebahagiannya disebut sebagai arahan eksekutif dan yang lain ialah memorandum presiden. Sesuatu arahan eksekutif wajib didaftar dan diterbit rasmi dengan ia menjadi undang-undang yang wajib dipatuhi jentera kerajaan.

    Memihak

    Sesuatu memorandum pula tidak didaftar. Pihak pentadbiran akan menimbangkannya sama ada untuk didaftar, diterbitkan seterusnya dilaksanakan. Selain daripada arahan eksekutif dan memorandum presiden, ketua negara Amerika juga mempunyai kuasa untuk membuat perisytiharan atau proclaimation.

    Antara arahan eksekutif itu melibatkan imigresen, iaitu mengehadkan kemasukan rakyat daripada tujuh negara majoriti penduduk Islam iaitu Iran, Iraq, Yaman, Syria, Somalia, Libya dan Sudan. Laporan awal menyatakan bahawa arahan beliau adalah mengharamkan semua kedatangan oleh rakyat negara-negara itu.

    Bagaimanapun dalam wawancara melalui televisyen pada Khamis lalu, Trump menafikan pengharaman itu. Beliau berkata arahan itu adalah mengehadkan kemasukan rakyat negara-negara berkenaan bagi mengelakkan pengganas menyelinap masuk ke dalam Amerika. Tetapi kalau pengganas yang dimaksudkan adalah dari kalangan teroris al-Qaeda dan Daesh, maka memasukkan Iran ke dalam senarai itu adalah sesuatu yang tidak kena. Al-Qaeda dan Daesh tidak berasal dari Iran. Teroris al-Qaeda dan Daesh datang dari pelbagai negara termasuk Arab Saudi dan Tunisia.

    Apa yang dapat dikesan daripada senarai itu ialah kebanyakan negara tersebut adalah mangsa pengeboman Amerika iaitu Iraq, Syria, Libya dan Sudan. Kesimpulan yang Trump mungkin tidak terima ialah kemunculan al-Qaeda merupakan hasil dasar luar Amerika di Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria. Di atas segalanya kemunculan terorisme adalah dari dasar Amerika yang memihak pada Israel dan kepentingan minyak di Timur Tengah. Kemunculannya fahaman ekstremisme Jihad Salafi hanya melengkapkan fenomena ini.

    Dalam beberapa minggu pemerintahan beliau, pelbagai perubahan mendadak yang dilakukan oleh Trump atas dasar America First dalam kerangka slogan ‘Make America Great Again’. – AFP
    Dalam beberapa minggu pemerintahan beliau, pelbagai perubahan mendadak yang dilakukan oleh Trump atas dasar America First dalam kerangka slogan ‘Make America Great Again’. – AFP
    Donald Trump, Presiden AS yang ke-45. – AFP
    Donald Trump, Presiden AS yang ke-45. – AFP

    Satu lagi arahan eksekutif Trump ialah membenarkan kaedah penderaan waterboarding oleh pihak penyiasat Amerika dalam mendapatkan maklumat. Kaedah waterboarding ini melibatkan paksaan memasukkan air ke dalam perut orang yang disyaki sebelum ditekan keluar. Ini amat menyakitkan dan selalunya orang yang disyaki akan bercakap apa saja sebab tidak tahan sakit. Trump kata beliau percaya kaedah ini berkesan untuk membantu kerja soal siasat.

    Ada pihak lain pula kata, waterboarding telah diharamkan Kongres, selain tidak berperikemanusiaan, kaedah ini tidak berkesan dari segi kesahihan maklumat diperolehi. Trump juga mengeluarkan arahan eksekutif supaya dibina tembok sepanjang sempadan Amerika dengan Mexico. Katanya, tujuan arahan itu adalah untuk menghalang kemasukan bukan saja pendatang haram tetapi juga pengedar dadah dan penjenayah. Beliau juga mahu Mexico membayar kos membina tembok.

    Tetapi tentulah Mexico enggan membayarnya. Ini merupakan masalah Amerika, mengapa pula Mexico yang menanggung. Presiden Mexico, Enrique Piena Nieto dari awal lagi ketika kempen Trump menyatakan negaranya tidak akan membayar kos tembok itu. Ekoran itu Trump menyatakan Amerika akan mengenakan cukai 20 peratus ke atas semua barangan Mexico yang diimport bagi membiayai pembinaan tembok itu.

    Terhadap cadangan itu, Presiden Nieto menganggap ia merupakan satu tamparan kepada maruah Mexico. Ekoran itu beliau membatalkan pertemuannya dengan Trump. Presiden Amerika dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Nieto dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau untuk merunding semula Perjanjian Perdangangan Bebas Amerika Utara (NAFTA). Trump mahukan supaya Amerika mendapat keuntungan daripada NAFTA. Ini kerana baginya perjanjian itu lebih menguntungkan Mexico dan Kanada. Perundingan semula perjanjian itu boleh menamatkan riwayat NAFTA.

    Trump juga telah mengeluarkan notis membatalkan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) seperti yang diumumkan semasa kempennya. Beliau mengutamakan persetujuan dagang dua hala. Ada lagi beberapa arahan eksekutif yang kontroversi ditandatangani Trump baru-baru ini. Antaranya pembatalan dana untuk pemeliharaan alam sekitar, pembatalan pembiayaan pengguguran dan pembekuan pengambilan kakitangan kerajaan, kecuali anggota tentera.

    Dalam beberapa minggu pemerintahan beliau, pelbagai perubahan mendadak yang dilakukan oleh Trump atas dasar America First dalam kerangka slogan Make America Great Again.

    Tetapi hakikatnya, beliau melaksanakan agenda apa yang disebut sebagai alt right. Ada yang menyebut alt right atau kanan alternatif ini sebagai konservatif ekstrem yang menghampiri nasionalis atau supremasis kulit putih, berkait pula dengan neo-fasis. Ia berbeza dengan konservatif arus perdana yang merupakan fahaman Parti Republikan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda