Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha tingkat kemahiran berbahasa Arab diteruskan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Para guru perlu mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan cabaran pendidikan masa kini dengan mendedahkan kepada penuntut kefahaman dan membantu mereka ke arah pembelajaran yang lebih berkesan.

    Selain itu, kepelbagaian strategi pengajaran bahasa Arab berupaya meningkatkan kebolehan empat bahasa dalam kalangan penuntut termasuk mempunyai kebijaksanaan dalam memahami dan mengubah sikap pelajar kepada yang lebih baik.

    Perkara ini diketengahkan oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Doa Kesyukuran, Pemberigaan Program Bimbingan dan Latihan Kemahiran Berbahasa Arab serta Penyampaian Sijil dan Pelancaran Buku Ad-Dalil Al-Irsyadi Fi At-Tadris Al-Hiwari yang berlangsung di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

    Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama juga sedia maklum bahawa dalam penguasaan bahasa Arab, terdapat hubungan yang signifikan antara sikap penuntut dan kaedah pengajaran guru. Bagaimanapun, dalam banyak kajian, pengajaran guru adalah lebih besar dalam menentukan kejayaan penuntut dalam pembelajaran bahasa Arab ini.

    “Saya difahamkan, objektif Program Bimbingan dan Latihan Kemahiran Berbahasa Arab adalah untuk memperkasa penggunaan bahasa Arab dan mengukuhkan status bahasa Arab dengan menjadikannya sebagai bahasa utama di sekolah-sekolah Arab serta membangunkan peranan institusi berkenaan dengan menyediakan perkhidmatan berkaitan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab melalui sumbangan berkesan dalam menyediakan pendekatan yang berbeza, kaedah pengajaran yang pelbagai, strategi dan cara pendidikan untuk pembelajaran bahasa Arab dengan cara yang menarik.”

    Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menyampaikan ucapannya. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bergambar ramai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Melihat kepada usaha dan perisiannya itu, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama percaya, program ini dapat membantu meningkatkan prestasi tenaga pengajar dan mendedahkan mereka dengan penggunaan pendekatan pengajaran berkesan, sekali gus mengoptimumkan tahap keupayaan dalam bidang pengajaran bahasa Arab. Natijahnya, mampu mengubah landskap pendidikan bahasa Arab dengan menampilkan para pengajar yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, menggalakkan daya berfikir secara kritis dan kreatif serta bertutur dan mengamalkan bahasa Arab dengan baik.

    Jelasnya, program ini adalah dalam rangka memperkasa keupayaan kendiri dalam penguasaan bahasa Arab sekali gus membudayakan penggunaan bahasa Arab dalam kalangan para pemimpin sekolah, tenaga pengajar serta penuntut-penuntut di sekolah-sekolah Arab seluruh negara dan di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

    Justeru harapan Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), agar semua peserta program ini memanfaatkan segala pengisian program dan mempraktikkannya di dalam pengajaran agar dapat menaikkan taraf pengajaran dan penilaian penuntut yang akan menjamin kegemilangan proses pembelajaran bahasa Arab.

    “Pada kesempatan ini, saya tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Unit Program Ta’zeez dan Jurulatih Antarabangsa Zakariya Ya’qoub ‘Amur Al-Syeibani di atas penerbitan buku Panduan Pengajaran secara Dialogik dan adalah menjadi harapan KHEU supaya buku ini dapat membimbing tenaga pengajar bahasa Arab dan mata pelajaran agama yang berbahasa Arab untuk menggunakan kaedah dialog dengan berkesan dalam pengajaran mereka dan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang menggalakkan dialog dan perbincangan.”

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan ucapan oleh tetamu kehormat majlis, disusuli dengan Pemberigaan Program Bimbingan dan Latihan Kemahiran Berbahasa Arab serta Pelancaran Buku Ad-Dalil Al-Irsyadi Fi At-Tadris Al-Hiwari.

    Seterusnya, penyampaian sijil disempurnakan kepada tenaga pakar dari Kesultanan Oman dan pemimpin-pemimpin sekolah serta tenaga-tenaga pengajar di sekolah-sekolah Arab yang diraikan.

    Majlis tersebut bertujuan sebagai penghargaan kepada tenaga-tenaga pengajar yang telah mengikuti Program Bimbingan dan Latihan Kemahiran Berbahasa Arab serta membariga Program Bimbingan dan Latihan Kemahiran Berbahasa Arab bagi KHEU dan pelancaran buku yang mengandungi kaedah pengajaran untuk dipraktikkan oleh tenaga-tenaga pengajar di sekolah-sekolah Arab dan ITQSHHB dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Arab di samping memperkasa penggunaan kaedah dialog dengan berkesan di dalam pengajaran dan memupuk pembelajaran interaktif.

    Program Bimbingan dan Latihan Kemahiran Berbahasa Arab telah bermula sejak tiga tahun lalu iaitu pada 10 Januari 2022 yang dikendalikan oleh Unit Program Ta’zeez yang dilaksanakan oleh seorang tenaga pakar KHEU dari Kesultanan Oman.

    Seramai 50 orang tenaga pengajar dari sekolah-sekolah Arab telah menyertai program tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda