Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Di Negara Brunei Darussalam, dari tahun 2019 sehingga 2023, seramai 127 orang wanita telah disahkan menghidapi kanser serviks iaitu di antara 23 hingga 32 orang setahun, dan dengan jumlah kematian sebanyak 51 orang dalam tempoh yang sama.
Kanser serviks merupakan kanser keempat paling lazim berlaku di kalangan wanita di seluruh dunia, dan secara amnya, lebih daripada 99 peratus kes kanser serviks adalah dikaitkan dengan jangkitan human papillomavirus atau HPV, iaitu sejenis virus yang biasanya berjangkit melalui hubungan kelamin.
Kebanyakan jangkitan HPV ini akan sembuh secara spontan dan tidak menyebabkan sebarang gejala, tetapi jangkitan HPV berisiko tinggi yang berterusan boleh mengakibatkan kanser serviks.
Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menyampaikan ucapan pelancaran Buku Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, jangkitan HPV ini boleh dikesan pada tahap yang awal dengan mudah melalui ujian saringan khusus, iaitu ujian HPV yang boleh dilakukan oleh profesional kesihatan, ataupun para wanita sendiri, iaitu secara self-sampling.
“Wanita yang dikesan mempunyai jangkitan HPV selalunya akan dinasihatkan untuk hadir bagi pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh doktor,” tambahnya.
Jangkitan HPV juga boleh dicegah dari awal, jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan, iaitu dengan pemberian vaksinasi terhadap HPV.
Di Negara Brunei Darussalam, Program Vaksinasi HPV Kebangsaan telah dijalankan sejak awal tahun 2012 di kalangan pelajar perempuan yang berumur di antara 13 hingga 17 tahun dengan mencatatkan liputan vaksinasi yang tinggi, iaitu melebihi 90 peratus untuk dua dos vaksin setiap tahun dari tahun 2019 hingga 2023.
“Program-program vaksinasi dan saringan, serta rawatan awal bagi sebarang perubahan pra-kanser merupakan strategi-strategi yang berkesan bukan sahaja dapat mencegah kanser serviks dan meningkatkan survival bahkan sangat menjimatkan kos rawatan kepada pihak kerajaan,” tegasnya.
Langkah-langkah tersebut, jelasnya, adalah selaras dengan inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu untuk menghapuskan kanser serviks menjelang tahun 2030.
Kementerian Kesihatan juga telah memperkenalkan saringan bagi kanser serviks dengan menggunakan ujian genomik HPV, yang mana dalam pengurusan risiko kanser, ujian genomik dapat mengesan mutasi dalam gen yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.
Katanya lagi, “Wanita yang dikesan mempunyai mutasi ini akan dipantau dengan lebih intensif sama ada mereka ini memerlukan ujian lebih lanjut, rawatan atau pembedahan sebagai langkah pencegahan yang lebih awal bagi mengurangkan risiko komplikasi yang serius.”
“Ujian genomik HPV juga boleh membantu dalam merancang rawatan kanser yang lebih tepat berdasarkan profil genetik tumor, memaksimumkan keberkesanan rawatan dan mengurangkan kesan sampingan.”
Beliau turut mengongsikan, sempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Serviks pada tahun ini, dan selaras dengan usaha-usaha untuk meningkatkan serta memperkukuhkan lagi langkah-langkah pencegahan dan kawalan kanser serviks di negara ini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa tindakan yang tertumpu termasuk pengemaskinian Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan 2025.
Selain berharap dengan adanya garis panduan ia akan dijadikan sebagai satu sumber komprehensif yang mengandungi amalan dan saranan berasaskan bukti terkini bagi mencegah dan merawat kanser serviks untuk digunakan oleh para profesional penjagaan kesihatan dan penggubal dasar.
Di samping berharap setiap jabatan atau pihak yang berkepentingan akan dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan segala tindakan yang diambil adalah menurut piawaian serta prosedur kerja yang disarankan, bagi melindungi, merawat dan memberi perkhidmatan terbaik kepada setiap pesakit.
Selain daripada garis panduan tersebut, dan sebagai langkah untuk memudahkan golongan wanita untuk memperoleh ujian HPV, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan orang ramai dapat membuat pendaftaran untuk ujian saringan HPV melalui ciri ‘Penilaian Risiko’ di aplikasi BruHealth bermula hari ini.
Dengan adanya akses yang mudah ini, tambahnya, para wanita yang layak untuk menjalani ujian saringan tersebut akan dapat menempah tarikh, waktu dan klinik yang diingini untuk menjalani ujian HPV.