Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    33 maut di India dalam insiden berkaitan hujan

    HYDERABAD, 3 SEPT – Hujan monsun lebat dan banjir telah mengorbankan sekurang-kurangnya 33 orang di selatan India dan lima kanak-kanak di Pakistan sejak dua hari lalu, kata pihak berkuasa hari ini.

    Di negeri Andhra Pradesh dan Telangana di India, rumah-rumah runtuh dan dihanyutkan oleh hujan lebat manakala banjir menjejaskan lalu lintas jalan raya dan kereta api, kata pegawai. Perkhidmatan cuaca telah mengeluarkan amaran merah untuk 11 daerah, meramalkan lebih banyak hujan di wilayah itu, kata birokrat tertinggi Telangana, Shanta Kumari.

    Lebih 4,000 orang telah dipindahkan ke 110 kem bantuan yang dikendalikan kerajaan di Telangana sejak kelmarin, menurut pegawai tertinggi negeri itu, A Revanth Reddy.

    Tasik, tangki dan sungai yang melimpah telah menyebabkan beberapa kampung di daerah Mahabubnagar dan Nalgonda terputus hubungan.

    Vijayawada, ibu kota komersial Andhra Pradesh, mengalami banjir paling teruk dalam dua dekad dengan Sungai Budameru membanjiri 40 peratus kawasan bandar dan menyebabkan hampir 275,000 orang terperangkap.

    Pasukan bantuan bencana sedang berusaha untuk memindahkan mereka ke kawasan yang lebih selamat, kata pegawai tertinggi Andhra Pradesh, N Chandrababu Naidu.

    Di negara jiran, Pakistan, banjir kilat yang dicetuskan oleh hujan monsun lebat mengorbankan lima kanak-kanak kelmarin di barat daya wilayah Balochistan, membawa jumlah kematian keseluruhan akibat insiden berkaitan hujan di negara berkenaan kepada sekurang-kurangnya 300 sejak 1 Julai. – AP

    Orang ramai meredah jalan yang ditenggelami air sambil membawa barang-barang mereka selepas hujan monsun lebat, di Vijayawada pada 2 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda