Thursday, October 3, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 syarikat, 23 individu dikenakan kompaun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Sebanyak 9 buah syarikat dan 23 orang individu telah dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah $9,800.00 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian Pindaan 2021 iaitu membuang sampah di tempat awam dan laluan awam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, kompaun berkenaan adalah hasil tindakan daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan semasa Operasi Bersih yang diadakan pada 11 Januari hingga 7 Februari.

    Menurut pindaan di bawah Perintah Kesalahan-Kesalahan Rampaian Pindaan 2021, kadar kompaun bagi mana-mana individu atau badan korporat yang dikeluarkan kompaun bagi kesalahan di bawah Bab 12 atau mana-mana kesalahan ialah bagi individu boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000.00 dan bagi badan-badan korporat boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $2,000.00.

    Sementara itu, bagi kesalahan-kesalahan individu dan badan-badan korporat yang gagal menjelaskan kompaun dan diambil tindakan melalui mahkamah adalah bagi mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah bab ini jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $1,000.00 dan tidak melebihi $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3.000.00 dan tidak melebihi $9,000.00, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Manakala badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab itu boleh dikenakan denda tidak kurang dari $2,000.00 dan tidak melebihi $10,000.00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000.00 dan tidak melebihi $30,000.00, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Dalam kes-kes berkenaan, individu-individu dan syarikat-syarikat itu adalah dikehendaki menjelaskan kompaun masing-masing ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Bangunan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jalan Perdana Menteri dalam tempoh masa tujuh hari.

    Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan mengingatkan mana-mana individu dan pemilik/penyewa bangunan untuk sama-sama menjaga aspek keindahan, kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan Bandar Seri Begawan.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan perkongsian maklumat yang berkaitan boleh menyalurkannya terus ke nombor Talian e-Darussalam, 123, WhatsApp ke 8333123, hotline Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang (BPU JBBSB), 7291122.

    Sampah-sarap yang diletakkan di tempat awam. – Gambar serahan JBBSB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda