Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agensi Angkasa Jepun bangunkan program anggar kerosakan gempa

    KUMAMOTO, 17 JAN – Agensi Angkasa Jepun menandatangani perjanjian dengan Wilayah Kumamoto untuk memajukan aplikasi praktikal program yang menganggarkan kerosakan bangunan akibat gempa bumi menggunakan imej satelit, lapor agensi berita Kyodo.

    Di bawah perjanjian itu, Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) akan menerima kira-kira 200,000 titik data mengenai bangunan yang rosak semasa gempa bumi Kumamoto 2016 untuk meningkatkan ketepatan program tersebut sebelum pelaksanaan di seluruh negara.

    Menurut JAXA, program itu dapat menilai kerosakan bangunan dalam tempoh dua hingga tiga jam selepas pemerhatian dengan membandingkan imej satelit sebelum dan selepas gempa bumi.

    Ia juga berfungsi dengan berkesan pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca buruk.
    Menurut JAXA, program tersebut dijangka sedia untuk digunakan dalam beberapa tahun akan datang.

    “Adalah menjadi hasrat saya agar pengajaran daripada Kumamoto dimanfaatkan untuk tindak balas bencana di seluruh Jepun,” menurut Gabenor Kumamoto Takashi Kimura, semasa majlis menandatangani perjanjian itu hari ini.

    Menurut jurucakap JAXA, program itu boleh membantu usaha tindak balas kecemasan dengan mengenal pasti kawasan yang paling terjejas dan memerlukan bantuan segera.

    Berikutan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang melanda Semenanjung Noto pada Tahun Baharu 2024, kerajaan Jepun memaklumkan kerajaan sukar menilai kerosakan akibat waktu siang yang singkat. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda