JAKARTA, 24 JAN – Seorang banduan warga Perancis yang dihukum mati di Indonesia sejak 2007 atas kesalahan dadah akan dihantar pulang ke negaranya, kata seorang menteri Indonesia hari ini.
Langkah itu menyusuli beberapa pembebasan tahanan berprofil tinggi baru-baru ini di Indonesia, termasuk seorang ibu warga Filipina yang dijatuhi hukuman mati serta lima anggota terakhir kumpulan ‘Bali Nine’.
Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yusril Ihza Mahendra, menandatangani perjanjian untuk pemindahan Serge Atlaoui, seorang lelaki berusia 61 tahun yang ditahan pada 2005 di sebuah kilang dadah dekat Jakarta, melalui panggilan video bersama Menteri Kehakiman Perancis, Gerald Darmanin.
“Saya rasa proses ini telah berjalan lama tetapi di bawah kerajaan semasa, rundingan ini lebih pantas,” kata Yusril kepada wartawan dalam sidang akhbar.
Perjanjian itu mengakhiri rundingan selama berbulan-bulan untuk pemindahan Atlaoui, yang dijangka dipulangkan pada 4 Februari, menurut Yusril.
Atlaoui kini mengalami masalah kesihatan di penjara Jakarta dan menerima rawatan mingguan di hospital, yang menambah desakan untuk pemindahannya.
“Ini tentunya menjadi kelegaan besar kerana akhirnya mendengar tentang perjanjian yang telah dimuktamadkan antara Perancis dan Indonesia untuk pemindahan Serge,” kata peguam Perancis Atlaoui, Richard Sedillot, kepada AFP.
Beberapa hari terakhir dikatakan sukar kerana pemeteraian perjanjian telah ditunda beberapa kali. Nasib Atlaoui setelah kembali ke Perancis masih belum jelas.
Bapa kepada empat anak itu terus mempertahankan dirinya tidak bersalah, dengan mengatakan bahawa dia sedang memasang mesin di kilang yang dia percaya adalah kilang akrilik. – AFP