Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barisan kabinet Paetongtarn dapat perkenan Raja Thailand

    BANGKOK, 4 SEPT – Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn memperkenan barisan kabinet baharu Thailand di bawah Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra.

    Barisan 35 anggota kabinet, termasuk enam timbalan perdana menteri, diterbitkan dalam Warta Diraja rasmi hari ini.

    Timbalan perdana menteri ialah Phumtham Wechayachai, Anutin Charnvirakul, Pirapan Salirathavibhaga, Suriya Juangroongruangkit, Pichai Chunhavajira dan Prasert Jantararuangthong.

    Menurut Warta Diraja, Phumtham akan mengambil portfolio baharu sebagai Menteri Pertahanan manakala Anutin mengekalkan peranannya sebagai Menteri Dalam Negeri seperti dalam pentadbiran terdahulu.

    Pirapan akan berkhidmat sebagai Menteri Tenaga, Suriya sebagai Menteri Pengangkutan, Pichai sebagai Menteri Kewangan dan Prasert sebagai Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat.

    Selepas pengesahan diraja terhadap barisan kabinet baharu, Paetongtarn dijangka mengetuai kabinetnya mengangkat sumpah di hadapan raja tidak lama lagi dan kerajaan baharu mesti membentangkan rancangan dasarnya kepada parlimen dalam tempoh dua minggu akan datang.

    Paetongtarn, 38, dipilih oleh Dewan Perwakilan Thailand sebagai perdana menteri pada 16 Ogos, untuk menjadi perdana menteri termuda kerajaan. Anak bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra itu, menggantikan Srettha Thavisin, yang dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan pada 14 Ogos. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 18 Ogos menunjukkan Paetongtarn bercakap dengan ahli media di ibu pejabat parti Pheu Thai di Bangkok, Thailand. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda