Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia disaran terus belajar, tingkat ilmu

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Belia masa kini mempunyai potensi yang sangat besar dalam mencapai matlamat pertama dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu Rakyat Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.

    Belia juga perlu mencontohi para sahabat, tabiin dan tabi tabiin yang mana ramai antara mereka dengan usia muda lagi sudah menjadi pakar rujuk bagi orang Islam.

    Oleh itu, pentingnya para belia untuk terus tidak putus belajar agar dapat meningkatkan, mempraktikkan dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

    Perkara itu ditekankan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Muhammad Fuad bin Matahir semasa menyampaikan inti pati tazkirahnya dalam Program Malam Munajat kali ke-148 dari Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis, semalam.

    Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pada minggu ini telah mengundang Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA, mahasiswa Tahun 2, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Awang Ali Awang Mohammad Shafiq Hisyamuddin bin Rosli, sekali gus memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai program Malam Munajat secara dalam talian. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Turut menyertai ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut mengimarahkan acara malam tadi ialah para penuntut dan tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB); ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Pehin Khatib Abdullah Kampung Kulapis, Masjid Kampung Sungai Besar, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit Mukim Kilanas, Masjid Kampung Menunggol dan Masjid Kampung Kapok serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang semuanya berjumlah 67 buah di seluruh negara.

    Turut menyertai ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga serta individu yang hadir secara maya dari kediaman masing-masing.

    Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Imam Tingkat III, Masjid Kampung Sungai Besar, Jabatan Hal Ehwal Masjid (ahli Alumni ITQSHHB pengambilan 2004), Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme dari Masjid Kampung Sungai Besar.

    Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Imam Tingkat IV, Masjid Kampung Menunggol, JHEM (ahli Alumni ITQSHHB, pengambilan 2014) Awang Mohammad Assraffi bin Haji Ibrahim dari Masjid Kampung Menunggol.

    Sebelum acara diakhiri, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Kampung Kapok, JHEM, Awang Mohammad Raffi bin Duming dari Masjid Kampung Kapok.

    Orang ramai dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat setiap hari Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda