LONDON, 15 JUN – Boris Johnson sengaja telah memberikan keterangan palsu kepada ahli-ahli Parlimen mengenai parti yang melanggar sekatan semasa pandemik COVID, yang boleh menyebabkan beliau dijatuhi hukuman penggantungan selama 90 hari jika tidak berhenti sebagai ahli Parlimen, demikian menurut keputusan jawatankuasa Parlimen hari ini.
Jawatankuasa Keistimewaan, yang menyiasat pelanggaran peraturan Dewan Rakyat, membuat kesimpulan bahawa Johnson bersalah atas “penghinaan berulang (terhadap parlimen) dan berusaha untuk menjejaskan proses parlimen.”
“Penghinaan ini lebih serius kerana dilakukan oleh perdana menteri, ahli paling kanan dalam kerajaan,” kata mereka dalam laporan setebal 106 muka surat.
“Tindakan Boris Johnson yang mengelirukan Dewan Rakyat adalah satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam konteks sejarah politik.
“Beliau mengelirukan Dewan mengenai isu yang paling penting kepada Dewan dan orang ramai, dan melakukannya berulang kali,” jelasnya lagi.
Jawatankuasa yang terdiri daripada tujuh anggota itu, yang kebanyakannya adalah daripada parti Konservatif sendiri, mempunyai kuasa untuk mencadangkan tindakan disiplin kepada mereka yang melanggar peraturan, dan keputusan tersebut akan diputuskan melalui undian ahli-ahli Parlimen.
Namun, Johnson, 58, mengelak daripada berhadapan dengan rakan sejawatnya dan kerugian yang mungkin timbul akibat perlu menyertai semula pilihan raya di kawasannya, dengan meletak jawatan sebagai ahli Parlimen hanya beberapa hari sebelum laporan dikeluarkan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P13-B_16062023.jpg)