Tuesday, May 21, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Brunei, S’pura perkukuh kerjasama melalui IOEP

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Hubungan kerjasama dalam bidang penyiaran dan penerangan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura terus dipertingkatkan melalui pertukaran lawatan para pegawai penerangan dari kedua-dua buah negara.

    Sehubungan itu, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini telah menjadi tuan rumah bagi Program Pertukaran Pegawai Penerangan (IOEP) antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura pada 5 hingga 8 Mei lalu.

    Pada tahun ini, lima orang pegawai kanan mewakili pelbagai kementerian dari Republik Singapura telah mengikuti program tersebut yang merupakan salah satu program yang dimeterai di bawah memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang penyiaran dan penerangan antara kedua-dua buah negara.

    Beberapa siri atur cara telah disusun untuk delegasi tersebut merangkumi lawatan-lawatan ke beberapa buah kementerian, jabatan dan daerah.

    Lawatan ke Jabatan Penerangan dimulakan dengan kunjungan muhibah kepada Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah yang diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas.

    Para delegasi bergambar ramai semasa mengikuti lawatan ke negara ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Para delegasi berpeluang melawat rumah panjang yang terdapat di negara ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    Pada kunjungan tersebut, delegasi telah diberikan taklimat mengenai jabatan berkenaan yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan, Dayang Nur Zahirah binti Haji Osman selaku Ketua Unit Perhubungan Korporat.

    Delegasi juga berpeluang untuk melawat Galeri Lentera Makmur dan Bahagian Pelita Brunei.

    Seterusnya, delegasi juga mengadakan lawatan ke Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di mana mereka mendengarkan taklimat mengenai MTIC Strategic Plan (Refresh), di samping taklimat tentang Inisiatif-inisiatif Transformasi Digital dan Negara Pintar di Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Penganalisa Sistem Kanan, Awang Muhammad Ruslan bin Haji Mahadi.

    Turut dilawati adalah Pavilion Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).

    Kemudian, delegasi dibawa melawat ke Jabatan Radio Televisyen Brunei di mana mereka meninjau beberapa buah unit, studio radio Nasional FM dan studio Rampai Pagi.

    Delegasi juga telah mengadakan lawatan ke Daerah Temburong di mana program telah dimulakan dengan lawatan ke Jabatan Daerah Temburong yang dialu-alukan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Mohammad Yassin bin Haji Ahmed.

    Di jabatan itu, mereka diberikan beberapa taklimat mengenai jabatan berkenaan selain beberapa perkongsian bersama agensi-agensi kerajaan yang lain iaitu daripada Jabatan Kemajuan Pelancongan oleh dan Unit Pengembangan Pertanian Daerah Temburong.

    Sebagai salah satu inisiatif pendedahan mengenai negara ini, delegasi juga berkesempatan menelusuri Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Rumah Panjang Kampung Sibut, Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) Batang Duri, Taman Batang Duri, Taman Mini Zoo, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan lain-lain.

    Bagi meraikan delegasi, Majlis Makan Malam telah dihoskan oleh Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin juga telah diadakan.

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Kaunselor Suruhanjaya Tinggi Singapura, Shaun Philip Grosse.

    Program tersebut merupakan satu landasan secara bersemuka bagi para pegawai untuk bertukar-tukar informasi dan maklumat sekali gus mempelajari amalan-amalan terbaik dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan pembarigaan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dan penduduk di kedua-dua buah negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...